Thursday, 30 August 2012

KONSEP PEMBELAJARAN


PSIKOLOGI PEMBELAJARAN

1.0       PENGENALAN

Dalam era globalisasi, peranan guru semakin mencabar malah guru juga perlu peka khususnya terhadap aspek pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, bertitik tolak dari sinilah seseorang murid dapat dibimbing dan dibentuk dengan lebih berkesan. Pembelajaran adalah satu proses perolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran serta pembentukan sikap dan kepercayaan.

Proses pembelajaran berlaku secara berterusan dan ia bukan sahaja merangkumi penguasaan kemahiran tetapi dari segi perkembangan emosi, sikap, nilai estetika dan ciri dalaman juga dipengaruhi oleh pembelajaran. Pembelajaran membawa perubahan kepada diri seseorang sama ada perubahan ke arah kebaikan atau sebaliknya. Namun begitu, masalah sering dihadapi oleh guru masa kini ialah bagaimana hendak mengajar pelajar supaya dapat menguasai maklumat, konsep dan kemahiran yang berguna apabila dewasa kelak (Slavin, 1997).

2.0       DEFINISI PEMBELAJARAN

Terdapat pelbagai tokoh telah memberikan definisi tentang konsep pembelajaran. Pembelajaran biasanya didefinisikan sebagai perubahan individu yang disebabkan oleh pengalaman (Slavin, 1997; Mazur, 1990; Rocklin, 1987). Namun begitu, perubahan akibat perkembangan fizikal seperti ketinggian bukanlah merupakan satu proses pembelajaran.

Manakala, menurut Stalling (1973) berpendapat bahawa pembelajaran berlaku berdasarkan tiga kriteria yang penting, iaitu:
i)             Pembelajaran harus menampakkan perubahan di dalam tingkah laku.
ii)            Pembelajaran harus melibatkan sesuatu pemikiran.
iii)           Pembelajaran harus menghasilkan perubahan melalui pengalaman atau latihan.

Definisi pembelajaran menurut Crow dan Crow (1983), pembelajaran adalah pemerolehan tabiat, pengetahuan dan sikap. Pembelajaran melibatkan cara baru membuat sesuatu kerja. Ia berlaku dalam percubaan individu untuk mengatasi rintangan atau untuk menyesuaikan diri kepada situasi baru.

Manakala, mengikut Robert M. Gagne (1970) dalam The Condition of Learning, pembelajaran merupakan “perubahan tingkahlaku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan proses pertumbuhan”. Mengikut Woolfolk (1980) dalam Educational Psychology for Teachers, pembelajaran dilihat sebagai perubahan dalaman yang berlaku kepada seseorang dengan membentuk perkaitan yang baru, atau sebagai potensi yang sanggup menghasilkan tindak balas yang baru.

Morgan dan King (1975) Introduction to Psychology, menakrifkan pembelajaran sebagai sebarang perubahan tingkah laku yang agak kekal akibat pengalaman yang diperolehi oleh seseorang atau akibat latihan yang dijalaninya. Definisi pembelajaran juga turut dikemukakan oleh E.R. Hilgard, R.C. Atkinson dan R.L.Atkinson (1975)  Introduction to Psychology, mengatakan pembelajaran adalah perubahan tingkah laku yang kekal hasil dari pengalaman. Perubahan ini mungkin tidak jelas sehingga timbul suatu situasi yang menonjolkan tingkah laku baru ini. Pembelajaran biasanya tidak diperlihatkan dengan serta-merta melalui pencapaian.

Daripada huraian yang diberikan oleh ahli-ahli psikologi pendidikan tersebut , dapatlah disimpulkan bahawa walaupun pengertian pembelajaran yang diberikan berbeza antara satu sama lain, terdapat juga persamaan di antara huraian ini. Kesemua  definisi ini memberi penekanan kepada perubahan tingkah laku  seseorang sebagai ukuran berlakunya pembelajaran. Apakah aspek perubahan tingkah laku tersebut ?
 Pada asasnya terdapat dua mazhab pemikiran yang menyarankan tentang aspek perubahan yang berlaku dalam seseorang akibat dari pembelajaran.

3.0            KLASIFIKASI PEMBELAJARAN

Proses pembelajaran melibatkan aspek mental, fizikal, emosi dan sosial. Secara umumnya pembelajaran boleh dikelaskan kepada tiga jenis iaitu:
·         Pembelajaran Formal
·         Pembelajaran Informal (Tidak Formal)
·         Pembelajaran Non-Formal (Bukan Formal)
Pembelajaran formal ialah pembelajaran yang diperoleh melalui satu sistem pendidikan yang dilembagakan dan disusun secara berperingkat-peringkat berdasarkan umur seseorang individu. Tujuan pembelajaran fomal berlaku adalah untuk mengembangkan domain kognitif ( aspek mental ), afektif ( nilai dan sikap ) dan psikomotor ( kemahiran ) seseorang murid atau pelajar. Kebiasaannya, pembelajaran formal dikelolakan oleh seseorang individu yang terlatih seperti guru-guru di peringkat rendah, menengah, dan pensyarah di peringkat universiti.

Selain itu, konsep pembelajaran formal lebih memberi penekanan kepada aspek penilaian. Oleh itu, tenaga pengajar sering mengadakan ujian dan peperiksaan. Antara ciri-ciri pembelajaran formal ialah pembelajarannya berlaku secara disedari murid,   dilakukan secara nyata dan disengajakan. Selain itu, pembelajaran formal lebih berasaskan sukatan pelajaran atau kurikulum yang digubal mengikut dasar dan aspirasi negara. Ciri-ciri pembelajaran formal juga berasaskan struktur yang tertentu, iaitu dengan tujuan, cara perlaksanaan dan cara penilaian yang nyata.

Manakala, pembelajaran informal atau tidak formal pula adalah perlakuan yang terlaksana secara tidak langsung atau secara tidak sedar. Pelajar-pelajar mendapat pengetahuan dengan didikan dan asuhan ibu bapa di rumah, pergaulan dengan rakan-rakan, mendengar radio dan menonton televisyen. Pembelajaran informal juga diterima secara tidak langsung tanpa berasaskan sebarang sukatan pelajaran.

Proses pembelajaran seterusnya pula ialah pembelajaran nonformal. Pembelajaran ini lebih bersifat secara sampingan dengan tujuan menambah dan melengkapkan pembelajaran formal. Pembelajaran ini juga memerlukan perancangan dan pengendalian teliti. Antara ciri-ciri pembelajaran nonformal ialah wujud keperluan pertingkatkan kepakaran pelajar. Untuk mengukuhkan proses pembelajaran ini institusi akan menganjurkan kursus pendek, ceramah, forum, bengkel dan seminar. Penyertaannya memerlukan bayaran  untuk jangkamasa beberapa hari. Pihak penganjur juga akan menyediakan kandungan kursus secara lebih mendalam.

 3.1           Jenis-jenis Pembelajaran

`                3.1.1       Jenis Pembelajaran Bloom.

Dari pengertian pembelajaran yang telah diberikan oleh beberapa ahli psikologi pendidikan, jelaslah pada kita bahawa pembelajaran bukan sahaja berlaku dari segi mental, malah ia boleh berlaku dari segi fizikal, emosi dan juga sosial. Ahli psikologi pendidikan Amerika Syarikat, Benjamin S. Bloom menyatakan bahawa pembelajaran manusia berlaku dalam 3 bidang iaitu bidang kognitif ,bidang afektif  dan bidang psikomotor. 

Melalui bidang kognitif, contoh yang terlibat dalam aspek kognitif seperti menyelesaikan masalah matematik dan sains, memberi hujah bagi menyokong sesuatu perbincangan yang bersifat akademik. Dari sudut afektif pula ia lebih mengutamakan penggunaan aspek sosial dan emosi, suka berinteraksi dengan orang lain dan mendalami emosi diri sendiri untuk belajar bertolak ansur, bertanggungjawab, belas kasihan dan sifat-sifat sosial yang lain. Manakala, dari aspek psikomotor pula ia lebih mengutamakan penggunaan aspek fizikal dan melibatkan koordinasi antara otak, saraf dan anggota badan. Contohnya, belajar  menulis, bermain bolasepak, menunggang basikal, membaiki kereta dengan perkakas, menjahit dan sebagainya.

                  3.1.2         Jenis Pembelajaran Ryburn dan Forge

Terdapat pendapat yang menyarankan bahawa pembelajaran perlu dilihat dari sudut cara sesuatu pembelajaran itu berlaku pada manusia. Berdasarkan fahaman ini, W. M. Ryburn dan K. B. Forge di dalam bukunya  “Principles of Teaching” bahawa pembelajaran manusia boleh diklasifikasikan kepada enam jenis iaitu:
i)             Belajar dengan cara meniru dan bermain.
ii)            Belajar dengan cara pragmatis iaitu sesuatu perbuatan yang menuju praktikal.
iii)           Belajar dengan cara pengamatan, perseps, tanggapan atau konsep.
iv)           Belajar dengan cara akademik iaitu pembelajaran Induktif dan Deduktif
v)            Belajar dengan cara penghubungan (seperti mengingati tarikh tentang sesuatu peristiwa.
vi)           Belajar dengan cara membuat sesuatu.

 3.1.3        Jenis Pembelajaran Gagne 

Gagne (1977) mengemukakan lapan jenis pembelajaran dalam bukunya “The Conditions Of Learning” berdasarkan tahap kerumitan pembelajaran; bermula dari pembelajaran yang paling mudah kepada pembelajaran yang kompleks, menurut hierarki kemahiran kecerdasan yang telah diperkenalkan oleh beliau.


4.0            PRINSIP PEMBELAJARAN.

Situasi pembelajaran meliputi semua aspek persekitaran seseorang pelajar dan semua faktor yang mempengaruhinya. Berdasarkan pemerhatian daripada kajian terhadap proses pembelajaran, terdapat beberapa prinsip pembelajaran yang perlu diambi kira untuk memastikan proses pembelajaran berkesan. Antaranya ialah kesediaan pembelajaran. Melalui aspek ini pelajar harus mempunyai kesediaan fizikal, mental dan emosi sebelum mereka belajar sesuatu pelajaran. Pembelajaran akan menjadi lebih berkesan apabila dilakukan berasas pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar. Guru perlu memastikan semua pelajar telah duduk dan memberi perhatian kepadanya sebelum guru tersebut memulakan pengajaran.
Prinsip yang kedua pula menekankan aspek pengalaman. Melalui aspek ini, konsep konstruktivisme diamalkan bagi menggalakkan belajar melalui membuat iaitu murid-murid hendaklah digalakkan menggunakan seberapa banyak organ derianya seperti mata, telinga, hidung atau jari. Pembelajaran begini akan meninggalkan kesan yang lebih lama. Seterusnya, unsur jenaka juga perlu diterapkan oleh seseorang guru kepada murid kerana kebanyakan murid menyukai guru yang boleh berjenaka. Mereka akan menanti kedatangan guru tersebut dan memberikan perhatian kepadanya. Hal ini akan menjadikan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan.

Prinsip pembelajaran juga turut menekankan aspek motivasi. Untuk menjayakan proses pembelajaran, guru perlu terlebih dahulu menarik perhatian pelajar dan mengekalkan perhatian mereka terhadap pengajaran. Hal ini boleh terhasil apabila guru menggunakan peneguhan positif dan negatif di dalam pengajarannya. Seterusnya, guru harus mengambil kira aspek objektif pembelajaran. Pelajar-pelajar hendaklah disedarkan atau diberitahu tentang objektif pembelajaran pada hari tersebut supaya mereka dan guru dapat bekerjasama mencapai objektif tersebut. Prinsip pembelajaran terakhir ialah menyusun pengajaran. Guru perlu menyusun pengajaran dan penerangannya mengenai sesuatu tajuk pengajaran dengan cara daripada yang diketahui kepada yang tidak diketahui, daripada senang kepada susah, daripada dekat kepada jauh atau daripada konkrit kepada abstrak.


5.0            TEORI-TEORI PEMBELAJARAN

Pendekatan pengajaran guru di dalam bilik darjah amat bergantung kepada cara pelajar tersebut mempelajari kandungan sesuatu mata pelajaran. Untuk melihat kepada keadaan ini, beberapa orang ahli psikologi mengkaji dan mewujudkan beberapa teori. Antara teori-teori yang terlibat ialah Teori Pembelajaran Behaviorisme, Teori Pembelajaran Sosial dan Teori Pembelajaran Kognitif.

                   5.1            Teori Pembelajaran Behaviorisme

Secara umumnya, Teori Pembelajaran Behaviorisme lebih menekankan kepada tingkah laku dan persekitaran. Menurut ahli psikologi behavioral, pembelajaran adalah perubahan tingkah laku yang berlaku dalam diri seseorang individu yang disebabkan oleh pengalaman. Proses ini akan mula berlaku ketika awal lahir sehingga ke peringkat tua. Di dalam teori ini, terkandung beberapa teori yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh. Antara teori yang diperkenalkan ialah Teori Pelaziman Klasik Pavlov. Mengikut teori ini, setiap rangsangan akan menimbulkan gerak balas. Gerak balas bermaksud apa-apa sahaja tingkah laku yang timbul akibat sesuatu rangsangan. Contohnya, guru akan silih berganti masuk keluar kelas. Tingkah laku ini akan terbawa-bawa di rumah jika guru tersebut terdengar loceng di pintu beliau akan keluar bilik memerhati ahli keluarganya. Hal ini menunjukkan bahawa bunyi loceng adalah merupakan faktor rangsangan manakala tingkah laku guru adalah gerak balas. Mengikut teori ini juga, Pavlov membuat satu eksperimen dengan menggunakan seekor anjing dalam tiga peringkat iaitu sebelum pelaziman, semasa pelaziman dan selepas pelaziman.

Teori Pembelajaran Behavioral juga turut diperkenalkan seorang ahli psikologi lain selain Ivan Pavlov iaitu J.B. Watson. Beliau telah menjalankan kajian untuk membuktikan bahawa emosi manusia juga dapat dilazimkan secara klasik. Beliau menyarankan guru boleh mempengaruhi pembelajaran pelajar dengan mengadakan rangsangan yang dapat menghasilkan tindak balas yang positif. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru seharusnya memilih rangsangan yang menyeronokkan. Pembelajaran merupakan proses cuba-jaya (trial and error) atau memilih dan saling menghubungkait (selecting and connecting). Eksperimen yang telah diperkenalkan oleh beliau ini merupakan asas pendedahan kepada pelaziman operan Skinner.

Selain itu, Teori Pelaziman Operan Thorndike juga merupakan salah satu teori yang dipekenalkan dalam Teori Pembelajaran Behaviorisme. Melalui eksperimen yang dijalankan oleh Thorndike mengatakan bahawa pembelajaran berlaku hasil daripada gabungan antara S-R, iaitu stimulus (rangsangan) dan response (gerak balas). Thorndike menyarankan bahawa pembelajaran manusia dikawal oleh hukum tertentu, yang disebut sebagai hukum pembelajaran. Hukum-hukum pembelajaran ini dapat dibahagikan kepada tiga iaitu Hukum Kesediaan, Hukum Latihan dan Hukum Kesan.

Menurut Thorndike, hukum kesediaan merujuk kepada kesediaan dan persiapan-persiapan yang perlu ada, sebelum seseorang individu itu bertindak, iaitu belajar. Kesediaan dapat dilihat dari tiga aspek yang utama iaitu kesediaan psikomotor, kesediaan afektif dan kesediaan kognitif. Melalui Hukum Latihan pula, menurut Thorndike, ia merupakan perkaitan antara rangsangan dan gerak balas (R-G) dan  akan bertambah kukuh melalui latihan yang diulang-ulang. Seseorang individu akan menguasai kemahiran jika latihan diadakan. Hukum latihan menyatakan bahawa sesuatu tingkah laku akan diteguhkan melalui aplikasi dan akan dilemahkan tanpa pengukuhan. Manakala, Hukum Kesan pula menyatakan bahawa jika sesuatu tindakan diikuti oleh sesuatu perubahan persekitaran yang menyeronokkan, kebarangkalian tindakan itu berlaku akan meningkat dan sebaliknya. Selepas gerak balas terhasil, pertalian antara rangsangan dan gerak balas akan bertambah kukuh, jika terdapat kesan yang menyeronokkan. Kesan yang menyakitkan akan melemahkan pertalian antara R-G.

Teori Pelaziman Operan Skinner juga merupakan salah satu teori yang terdapat dalam Teori Pembelajaran Behaviorisme. Skinner pernah mengkaji teori-teori behaviorisme yang dinyatakan oleh ahli-ahli psikologi yang lain. Mereka menekankan bahawa setiap gerakbalas adalah dihasilkan daripada sesuatu rangsangan yang diketahui. Ahli-ahli ini berpendapat bahawa tingkah laku manusia adalah pasif iaitu merujuk kepada individu yang tidak dapat mengawal tingkahlakunya.

Sebaliknya dari pemerhatian Skinner, tingkahlaku yang terhasil tidak mengikut urutan kemunculan tingkahlaku selepas rangsangan, sama ada terlazim atau tak terlazim, tetapi ianya berlaku kerana kesan daripada rangsangan yang berkenaan. Kesimpulannya, Skinner berpendapat manusia dapat mengawal tingkah laku dirinya. Bagi membuktikan hasil kajiannya, Skinner telah mereka bentuk sebuah kotak yang dikenali dengan Kotak Skinner. Tingkah laku tikus di dalam kotak tersebut boleh dikawal dan gerakbalasnya boleh diperhatikan dan direkodkan.

             5.2       Teori Pembelajaran Sosial

Teori pembelajaran sosial ini telah dipelopori oleh Albert Bandura, seorang ahli psikologi yang berkhidmat di Universiti Stanford. Beliau telah memperkenalkan Model Determinisme Timbal Balik dan Teori Peniruan.  Menurut beliau manusia secara semula jadinya belajar melalui proses peniruan atau pemerhatian, iaitu dengan cara melihat orang bertingkah laku seperti berjalan, makan, minum, mendapat penghargaan, pujian atau menerima hukuman. Teori ini juga turut menekankan aspek kognitif. Contohnya, bagaimana kanak-kanak meniru perlakuan orang dewasa dan bagaimana persekitaran mempengaruhi kehidupan dan perlakuan kanak-kanak. Melalui perkaitan ini, Bandura mengatakan bahawa pembelajaran secara peniruan melibatkan tiga unsur  iaitu,individu (kognitif), persekitaran dan tingkah laku itu sendiri (Ormrod, 2008).

               5.3       Teori Pembelajaran Kognitif

Melalui Teori Pembelajaran Kognitif, terdapat pelbagai kajian oleh ahli-ahli psikologi sehingga wujudnya beberapa teori yang menjadi rujukan untuk individu kini. Antara teori-teori yang wujud seperti Teori Pembelajaran Gestalt, Model Pemprosesan Maklumat,Teori Pembelajaran Gagne, Teori Pembelajaran Ausubel,Teori Pembelajaran Bruner dan Teori Pembelajaran Konstruktivisme. Mengikut kajian oleh Wolfgang Kohler (1887-1967), beliau banyak menekankan pembelajaran celik akal. Melalui perkaitan ini, beliau telah menjalankan kajian ke atas lima ekor cimpanzi iaitu Chica, Grande, Konsul, Ranan dan Sultan. Antara dapatan beliau ialah mengikut kebiasaan apabila berdepan dengan situasi yang bermasalah, haiwan akan berusaha untuk mencari perhubungan menuju penyelesaian.

Manakala menurut Jerome Seymour Bruner (1915-sekarang) yang merupakan tokoh utama revolusi kognitif sering dikaitkan dengan pembelajaran penemuan. Beliau mengatakan bahawa pembelajaran adalah satu proses sosial aktif. Proses ini berlaku mengikut tiga langkah iaitu enaktif, ikonik dan simbolik. Beliau turut mengatakan bahawa pengetahuan dan kemahiran diperoleh mengikut satu pola yang disifatkan sebagai pecutan dan rehat. Tegas beliau, persekitaran memainkan peranan penting dalam menentukan kadar proses pemahaman dan penguasaan satu-satu konsep. Murid juga lebih mudah untuk memperoleh pengetahuan apabila mereka menemui sendiri.

Teori Pembelajaran Kognitif yang dikemukakan oleh David Ausubel (1963, 1977) telah mengemukakan teori pembelajaran yang mengatakan manusia memperoleh ilmu kebanyakannya dalam bentuk pembelajaran resepsi dan bukan daripada pembelajaran penemuan atau dikenali sebagai Model Pembelajaran Ekspositori. Ausubel juga mengemukakan pembelajaran lisan berrmakna termasuk pentingnya maklumat lisan, idea dan hubungan antara idea yang dikenal sebagai Konsep Penyusunan Awal. Bagaimanapun, hafalan tidak dianggap sebagai pembelajaran bermakna.

Model pembelajaran ekspositori yang dikemukakan oleh Ausubel telah menekankan tentang penerangan bahan pembelajaran oleh guru dalam bentuk fakta yang tersusun dan dijelaskan menurut urutan serta fakta yang lengkap. Ausubel menegaskan pembelajaran sepatutnya berkembang dalam bentuk deduktif daripada am kepada spesifik atau daripada prinsip kepada contoh (Woolfolk, 1998). Manakala, penyusunan awal (advance organizer) telah diperkenalkan oleh Ausubel untuk menyesuaikan skema pelajar dengan bahan pembelajaran, supaya pembelajaran optimal berlaku. Salah satu strategi untuk memastikan wujudnya kesesuaian tersebut ialah memulakan pembelajaran berpandukan kepada “penyusunan awal”. Ia merupakan struktur yang menerangkan hubungan antara konsep-konsep yang hendak disampaikan pada hari tersebut. Fungsi penyusunan awal ialah untuk menjelaskan kepada guru dan pelajar tentang perkara-perkara yang perlu difahami bagi sesuatu tajuk pelajaran. Penyusunan awal juga boleh menghubungkan konsep baru dengan konsep yang telah dipelajari. Jadi terdapat tiga tujuan penggunaan penyusunan awal, iaitu memberi gambaran tentang apa yang penting dalam pelajaran, menjelaskan hubungan antara konsep yang akan dihuraikan dan menggerakkan minda pelajar untuk mengingat semula konsep berkaitan yang telah dipelajari.


6.0            KESIMPULAN


Secara kesimpulannya, pembelajaran merupakan segala perubahan tingkah laku yang agak kekal, akibat dari perubahan dalaman dan pengalaman, tetapi bukan semata-mata disebabkan oleh pertumbuhan atau kematangan, ataupun disebabkan oleh kesan sementara seperti penyakit. Prinsip pembelajaran ialah suatu garis panduan mengenai bagaimana pembelajaran berlaku dan faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran. Dengan itu guru boleh merancang dengan lebih sempurna untuk melaksanakan pengajarannya supaya lebih berkesan.



RUJUKAN

Ab. Fatah Hasan 1994. Penggunaan Minda Yang Optimum dalam Pembelajaran. Skudai: Penerbit UTM.

Mahmood Nazar Mohamed (1990). Pengantar Psikologi.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.

Teori Pembelajaran Ausubel. (Ogos, 2010). Diakses pada 29 Ogos 2012 dari  teorikognitif-mab.blogspot.com

Prof. Dr. Khadijah Rohani Mohd Yunus, Mahani Razali, Ramlah Jantan. (2011).Edisi Kedua:HBEF2103Psikologi Pendidikan.  Penerbit OUM: Fakulti Pendidikan dan Bahasa.

Teori Pembelajaran Kognitif (September, 2009). Diakses pada 29 Ogos 2012 dari http://rujuknota.blogspot.com/2009/09/ teori-pembelajaran-kognitif.html


NOOR MUMTAZIAH BINTI SARIF































Wednesday, 29 August 2012

TEORI PEMBELAJARAN DAN IMPLIKASI TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

1.0       Pengenalan
            Teori merupakan antara perkara asas kepada sesuatu bidang ilmu, termasuklah bidang psikologi pendidikan. Teori-teori pembelajaran dalam psikologi pendidikan memberi fokus kepada aspek-aspek pembelajaran dan daripadanya akan datang idea-idea dan prinsip-prinsip tertentu. Perkaitan teori ini sebenarnya tidak asing lagi bagi kita,  malahan ada kalanya digunakan dalam percakapan atau perbualan seharian. Walau bagaimanapun penggunaan perkataan teori dalam perbualan seharian ini mungkin tidak menepati maksud teori yang sebenar. Oleh itu, apakah yang dimaksudkan dengan teori?
Menurut Stanovich (1992) beliau telah memberi satu definisi tentang teori, iaitu: …..” set konsep-konsep yang saling berkait, yang digunakan untuk menjelaskan sesebuah data dan untuk meramal keputusan kajian-kajian akan datang”. Manakala mengikut pendapat Cohen, R pula mendefinisikan teori sebagai satu set pernyataan sejagat yang ada pertalian antara satu sama lain. Justeru, ia mengandungi definisi dan pernyataan yang menggambarkan pertalian antara dua perkara yang dianggap benar. Oleh itu, dalam erti kata lain, kita boleh maksudkan teori sebagai andaian atau hipotesis-hipotesis tentang sesuatu yang berdokongkan kajian. Sehubungan itu, teori-teori pembelajaran merujuk kepada prinsip-prinsip dan hukum-hukum pembelajaran yang dihasilkan daripada kajian ahli-ahli psikologi pendidikan. Justeru, melalui teori-teori pembelajaran ini, seseorang pengajar akan memahami pelbagai cara pelajar-pelajar dan seterusnya akan menghubungkaitkan prinsip dan hukum pembelajaran dengan kaedah dan teknik mengajar untuk mencapai objektif pelajaran dengan berkesan. Oleh itu, pada asasnya, teori-teori pembelajaran pada masa kini boleh diklasifikasikan kepada empat mazhab yang utama iaitu behavioris, kognitif, sosial dan humanis.


2.0       Teori Pembelajaran Behavioris
 Teori Pembelajaran Behavioris mengatakan bahawa pembelajaran merupakan satu proses pelaziman iaitu hubungan antara rangsangan luar dengan tindak balas individu dapat dibina untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang kekal. Tokoh-tokoh mazhab behavioris seperti Pavlov, Thorndike, Watson dan Skinner berpendapat bahawa pembelajaran merupakan satu tingkah laku yang boleh diperhatikan, dikawal dan diramal. Dari perspektif behaviorisme, pembelajaran hanya bermula apabila wujudnya tindak balas terhadap sesuatu rangsangan yang diberi. Proses pembelajaran akan diteruskan jika terdapat motivasi ekstrinsik yang sesuai (sama ada peneguhan positif atau negatif) sementara pembelajaran dikatakan berakhir apabila perubahan tingkah laku dapat dibentuk dan dikekalkan. Selain itu,  Behaviorisme merupakan satu pendekatan pemikiran yang menekankan peranan pengalaman dalam mengawal tingkah laku. Menurut ahli-ahli behaviorisme, proses-proses penting yang mengawal tingkahlaku ini adalah dipelajari.  Oleh itu, kedua-duanya iaitu dorongan yang membangkitkan tingkahlaku serta tingkah laku tertentu yang dibangkitkan daripada dorongan ini dipelajari melalui interaksi dengan persekitaran. Antara matlamat utama pemikiran ini ialah untuk menentukan hukum-hukum atau prinsip-prinsip yang mengawal pembelajaran.
Antara tokoh-tokoh yang ahli behaviorisme yang terkemuka yang akan dibincangkan ialah Ivan Pavlov, J.B. Watson, E.L Thorndike dan B.F. Skinner. Eksperimen yang mereka jalankan menjadi asas kepada prinsip dan idea mereka tentang pembelajaran. Kebanyakan teori pembelajaran yang dihasilkan daripada pemerhatian dan ujian ke atas haiwan seperti anjing, tikus, kucing dan burung dalam keadaan bilik makmal. Ujian mereka ditumpukan kepada perhubungan rangsangan dan gerak balas yang menghasilkan perubahan tingkah laku. Secara amnya kita boleh bahagikan sumbangan mereka kepada dua kategori iaitu pelaziman klasik  terdiri dari Pavlov dan J.B. Watson dan teori pelaziman operan terdiri dari tokoh E. L Thorndike dan B.F. Skinner. Di dalam perbincangan ini, fokus akan diberi kepada pelaziman klasik dan diikuti dengan pelaziman operan serta implikasi teori dalam pengajaran dan pembelajaran.

2.1       Teori Pelaziman Klasik Ivan Pavlov

Menurut Lee Shok Mee (1996), beliau menyatakan Pavlov merupakan salah seorang daripada ahli teori Behavioris selain daripada Skinner, Thondike dan Watson. Beliau dilahirkan pada 14 September 1849 di Ryazan, Rusia Tengah. Ivan Pavlov merupakan ahli fisiologi, psikologi dan ahli fizik berbangsa Rusia. Beliau terkenal dengan orang pertama yang mendeskripsikan fenomena pelaziman klasik atau pelaziman responden.  Pada tahun 1904  pula, beliau telah dianugerahkan hadiah Nobel bagi kategori fisiologi atas eksperimen beliau iaitu melatih anjing untuk mengeluarkan air liur apabila mendengar bunyi yang dikeluarkan oleh metronome. Hasil eksperimen ini telah mengasaskan teori behavioris dalam bidang psikologi yang merupakan rujukan asas kepada konsep pelaziman klasik pada masa kini.
 Teori pelaziman klasik adalah tentang tingkah laku pembelajaran yang telah dipelopori oleh Ivan Pavlov ( 1849-1936). Pada tahun 1980-an, Pavlov mengkaji fungsi pencernaan pada anjing dengan melakukan pemerhatian pada kelenjar air liur. Dengan cara itu, beliau dapat mengumpul, menyukat dan menganalisis air liur haiwan itu dan bagaimana ia dapat diberikan makanan pada keadaan yang berbeza. Beliau sedar anjing akan mengeluarkan air liur sebelum makanan sampai ke mulutnya dan mencari hubungan timbal balik antara air liur dengan aktiviti perut. Pavlov hendak melihat rangsangan luar dapat mempengaruhi proses ini. Oleh itu, contoh paling awal dan terkenal bagi pelaziman klasik melibatkan pelaziman air liur pada anjing kajian Pavlov.
Seterusnya dalam eksperimen ini juga Pavlov membunyikan loceng terlebih dahulu sebelum beliau memberikan makanan kepada anjing. Anjing itu tidak memberikan sebarang gerak balas terhadap bunyi loceng. Kemudian Pavlov memberikan makanan kepada anjing itu dan menghasilkan gerak balas rembesan air liur. Makanan ini disebut sebagai rangsangan tak terlazim kerana menghasilkan gerak balas rembesan air liur secara automatik. Perembesan air liur ini disebut sebagai gerak balas tak terlazim kerana ia berlaku secara automatik. Tiada pembelajaran atau pelaziman terlebih dahulu menghubungkaitkan makanan dengan perembesan. Bunyi loceng hanya satu rangsangan neutral kerana tidak menghasilkan sebarang gerak balas. Oleh itu, eksperimen ini diulang berkali-kali iaitu loceng dibunyikan terlebih dahulu sebelum anjing itu diberikan makanan.  Akhirnya anjing itu mengeluarkan air liur sebaik mendengar bunyi loceng walaupun belum lagi menerima makanan. Oleh itu bunyi loceng disebut rangsangan terlazim kerana ia boleh menyebabkan perembesan. Gerak balas terhadap bunyi disebut gerak balas terlazim kerana dapat menghasilkan gerak balas yang sama seperti makanan. Selain itu, tindak balas emosi manusia terhadap pelbagai situasi dipelajari melalui pelaziman klasik. Contohnya, seorang guru sentiasa memarahi muridnya, maka kehadiran guru tersebut dapat membangkitkan perasaan takut pada diri murid tersebut. Gerak balas terlazim ini timbul disebabkan rangsangan neutral. Selain itu, gerak balas positif juga dapat dipupuk melalui teori pelaziman klasik. Misalnya guru sentiasa memberi pujian kepada murid yang menyiapkan tugasan, lama kelamaan murid tersebut akan bergerak balas positif walaupun tanpa pujian.
Oleh itu, keputusan yang diperoleh dari kajian pelaziman klasik ini mempunyai implikasi dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah iaitu pembelajaran boleh berlaku dengan menggantikan satu rangsangan dengan rangsangan yang lain. Justeru, Ivan Pavlov berpendapat bahawa pembelajaran berlaku akibat daripada rangsangan yang telah diterima oleh seseorang. Setiap rangsangan yang diterima pula akan menimbulkan suatu gerak balas. Daripada teori ini, guru perlu sedar bahawa rangsangan dan gerak balas mempunyai kaitan yang boleh dilazimkan atau dipelajari.
Kaitan antara rangsangan dengan gerak balas boleh diperkukuhkan melalui latihan. Semakin kerap rangsangan itu dikaitkan dengan sesuatu gerak balas,semakin kukuh gerak balas terlazim itu. Sebagai contoh, apabila guru memberi pujian (rangsangan) setiap kali murid membuat hasil kerja yang baik (gerak balas), maka gerak balas tersebut (hasil kerja yang baik) akan dapat diteruskan walaupun tiada pujian daripada guru. Guru juga boleh memotivasikan muridnya dengan ganjaran yang sesuai supaya dapat mengawal tingkah laku yang dikehendaki dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Sebagai contoh, guru boleh memberi motivasi dalam bentuk pujian, hadiah dan kata-kata perangsang untuk membentuk tingkah laku yang diingini. Guru juga boleh meningkatkan motivasi murid-muridnya dengan menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan seperti memulakan pengajaran dan pembelajaran dengan set induksi yang dapat menarik perhatian murid. Selain itu, guru juga perlu melibatkan murid-murid dalam proses pengajarannya seperti penglibatan dalam aktiviti berkumpulan, perbincangan, projek dan sebagainya. Melalui aktiviti seperti ini murid-murid dapat belajar dengan lebih berkesan kerana pembelajaran boleh berlaku melalui latihan, kebiasaan dan pengalaman. Dalam proses pembelajaran juga, generalisasi boleh berlaku di mana murid dapat melakukan tingkah laku yang sama di dalam situasi yang berlainan. Sebagai contoh, murid dapat mengaplikasikan konsep wang yang dipelajari di kelas ketika proses jual beli di kantin atau di kedai buku sekolah. Dalam pembelajaran juga, penghapusan boleh berlaku jika peneguhan tidak diberikan. Ini bermakna, sekiranya sesuatu tingkah laku tidak diperkukuhkan melalui ganjaran, tingkah laku itu mungkin akan terhapus begitu sahaja. Apabila seseorang guru berhenti memberi ganjaran, prestasi muridnya mungkin akan merosot. Oleh itu, konsep pemulihan serta merta dapat membantu seseorang guru meningkatkan keberkesanan pengajarannya dengan memberikan insentif semula kepada murid-murid dengan mempelbagaikan hadiah, aktiviti, alat bantu mengajar dan projek bagi meningkatkan semula semangat ingin belajar  di kalangan murid-murid.




2.2      Teori Pelaziman Tingkah Laku J.B Watson

Teori pelaziman klasik seterusnya iaitu Teori Pelaziman Tingkah Laku J.B Watson. J.B. Watson merupakan seorang ahli psikologi di Amerika Syarikat dan merupakan orang yang pertama mencipta istilah behaviorisme untuk menghuraikan tingkah laku manusia. Kajian beliau banyak dipengaruhi oleh Teori Pelaziman Klasik Pavlov. Antara teori yang terkenal iaitu kajian beliau tentang emosi kanak-kanak dengan menggunakan Model Pelaziman Klasik.  Menurut Noriati A. Rashid et al (2009), Watson melihat psikologi sebagai kajian tentang tingkah laku manusia yang dapat dikawal dan diramal. Selain itu,  Watson terkenal dengan kajiannya berkaitan pelaziman dan kawalan emosi manusia iaitu uji kaji tentang Albert (1920). Dalam eksperimen ini kanak-kanak Albert dibiarkan bermain tikus putih. Ketika Albert sedang bermain, Watson membunyikan ketukan yang kuat. Gandingan dua perkara ini dibuat berulang-ulang kali. Oleh itu, Albert terkejut dan terus menjadi takut kepada tikus putih.  Justeru, Albert mengaitkan tikus putih dengan bunyi yang mengejutkan. Oleh itu, persepsi Albert akan menjadi takut kepada semua benda putih yang berbulu termasuk rambut Watson dan muka Santa Klaus.
 Menurut Watson, tingkah laku adalah refleks terlazim iaitu sesuatu gerak balas yang dipelajari melalui proses pelaziman klasik. Selain tingkah laku, Watson turut menjalankan kajian terhadap pembelajaran emosi manusia. Menurut beliau, manusia mewarisi tiga jenis emosi iaitu takut, marah dan kasih sayang. Beliau berpendapat bahawa rasa takut dan respons emosi lain boleh diperoleh atau dihapuskan melalui pelaziman. Seperti kajian yang dijalankan olehnya terhadap seorang bayi berusia 9 bulan dengan seekor tikus putih.  Watson juga memperkenalkan dua prinsip iaitu prinsip kekerapan dan prinsip kebaruan. Prinsip kekerapan menekankan bahawa semakin kerap seseorang menunjukkan suatu respons terhadap suatu rangsangan, semakin tinggi kemungkinan orang itu akan memberikan respons (gerak balas) yang sama terhadap rangsangan tersebut.
Prinsip ini membawa implikasi bahawa murid perlu memahami dan mengulangkaji setiap tajuk dalam sesuatu mata pelajaran dengan kerap bagi mengingati kembali konsep-konsep pelajaran dengan mudah. Prinsip kebaruan pula menegaskan bahawa semakin baru respons seseorang terhadap suatu rangsangan, semakin tinggi kemungkinan orang itu akan memberikan respons atau gerak balas terhadap rangsangan itu. Ini  bermakna, setiap murid perlu membuat ulang kaji dengan sempurna sebelum menempuh peperiksaan bagi membolehkan mereka mengaplikasikan konsep-konsep yang diulang kaji. Sekiranya sesuatu tajuk itu lama tidak diulangkaji, ia akan terhapus daripada ingatan begitu sahaja.
Oleh itu,seseorang guru perlu memberikan latihan dengan kerap untuk mengukuhkan ingatan murid. Selain itu, minat murid juga boleh ditimbulkan dan dihapuskan. Guru yang mengajar dengan pelbagai alat bantu mengajar dan mengelola pelbagai jenis aktiviti akan dapat menimbulkan minat murid terhadap pengajarannya dan seterusnya menyebabkan murid ternanti-nanti kemunculan guru berkenaan untuk mengajar mereka. Sebaliknya, minat murid terhadap sesuatu mata pelajaran akan berkurangan sekiranya didapati pengajaran guru tersebut tidak menarik atau membosankan. Sama seperti Pavlov, teori Watson juga menggalakkan rangsangan yang baik bagi mewujudkan tingkah laku positif. Sebagai guru kita harus memastikan rangsangan dalam bilik darjah (termasuk tingkah laku guru) menimbulkan perasaan keseronokkan serta keselesaan dan bukan perasaan takut atau risau. Guru juga perlu menggunakan rangsangan yang boleh memotivasikan murid seperti mewujudkan persekitaran yang kondusif dan kaya dengan bahan pengajaran bagi mendorong mereka berminat untuk belajar.

2.3        Teori Pelaziman Cuba Jaya Thorndike

Teori Edward L. Thorndike (1874-1949) dikaitkan dengan teori pelaziman operan. Thorndike terkenal dengan teori cuba jaya dan tiga hukumnya iaitu hukum kesediaan, hukum latihan dan hukum kesan. Mengikut beliau, ganjaran dan denda merupakan dua faktor penting yang membantu pembelajaran manusia. Ganjaran akan mendorong manusia melakukan sesuatu gerak balas. Dalam kajian tentang perkaitan gerak balas dengan rangsangan, Thorndike melakukan eskperimen terhadap seekor kucing. Beliau mengurungkan  seekor kucing yang lapar dalam sebuah sangkar yang di dalamnya terletak satu tuil yang berfungsi sebagai anak kunci untuk membuka pintu sangkar tersebut. Thorndike juga telah meletakkan semangkuk makanan di luar sangkar yang digunakan untuk rangsangan terhadap kucing itu. Berdasarkan pemerhatian Thordnike, kucing yang lapar itu melakukan pelbagai tindakan untuk melepaskan diri dalam sangkar, dan tiba-tiba terpijak tuil yang membuka pintu sangkar tersebut dan terus menuju ke arah makanan yang disediakan. Kucing tersebut dimasukkan semula dan eskperimen ini diulang sehingga kucing telah berjaya mempelajari cara membuka pintu sangkar.
Berdasarkan pemahaman Thorndike semakin banyak percubaan semakin cepat ia dapat keluar dari sangkar. Kesimpulannya pembelajaran merupakan proses cuba ralat atau memilih dan menghubungkait. Dalam proses ini latihan yang dilakukan secara berulang, gerak balas yang dihasilkan pada peringkat permulaan akan semakin berkurang, perhubungan di antara rangsangan dengan gerak balasnya semakin bertambah kukuh. Beliau berpendapat bahawa pembelajaran merupakan proses cuba-ralat (trial and error) atau memilih dan menghubungkait (selecting and connecting). Proses cuba-ralat ini juga dikenali sebagai proses cuba jaya. Latihan yang dilakukan secara berulang-ulang akan menyebabkan gerak balas yang dihasilkan pada peringkat permulaan akan semakin berkurangan. Manakala perhubungan antara rangsangan dan gerak balas akan semakin kukuh. Gerak balas operan berlaku secara sendiri dan jika mendapat hasil yang berkesan, ia akan dikukuhkan dan dikekalkan. Ini bermakna apabila ganjaran diberi, gerak balas yang terhasil akan berulang kerana sudah berlakunya proses pembelajaran. Tetapi jika ganjaran tidak diberikan, gerak balas tersebut akan hilang secara perlahan-lahan. Oleh itu, guru perlu menyediakan pelbagai sumber pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan mengagumkan agar proses pembelajaran yang berkesan boleh berlaku. Contohnya dengan menggunakan ICT dan audio atau video yang menarik agar murid dapat menjalani proses pembelajaran dengan berkesan. Thorndike juga terkenal dengan tiga hukumnya iaitu Hukum Kesediaan,Hukum Latihan dan juga Hukum Kesan. Thorndike amat menyarankan ketiga-tiga hukum tersebut digunakan dalam mengawal pembelajaran manusia kerana beliau percaya jika hukum-hukum tersebut dipatuhi, maka pembelajaran akan menjadi mudah dan berkesan. Hukum kesediaan adalah perkara yang paling penting dan asas sebelum seseorang murid memulakan pembelajaran. Seseorang murid perlu mempunyai persiapan yang rapi sebelum menghadapi sesi pembelajaran di dalam kelas.
Selain itu, murid perlu mempersiapkan diri mereka dari segi mental, fizikal, emosi, sosial dan psikomotor sebelum pembelajaran berlaku. Faktor-faktor ini sangat membantu dalam mewujudkan aktiviti pembelajaran yang aktif, mudah, seronok dan berkesan. Justeru kesediaan murid sangat penting dalam memulakan sesuatu aktiviti pembelajaran. Sekiranya murid bersedia sepenuhnya untuk menjalani aktiviti pembelajaran, kesannya mereka akan berasa seronok sepanjang pembelajaran berlaku dan seterusnya objektif pembelajaran dapat dicapai dengan mudah. Guru boleh menggunakan motivasi yang sesuai untuk meningkatkan kesediaan murid untuk belajar. Kesediaan murid untuk belajar adalah perkara yang paling utama kerana jika mereka bersedia,maka gerak balas yang positif akan dihasilkan.
Motivasi yang diberikan adalah sebagai satu rangsangan yang baik untuk meningkatkan semangat murid untuk belajar. Dalam Hukum Latihan pula, Thorndike berpendapat bahawa perhubungan antara rangsangan dengan gerak balas akan bertambah kukuh jika latihan diberikan. Ini bermakna, untuk meningkatkan perhubungan antara rangsangan dan gerak balas,seseorang murid hendaklah diberi latihan dan pengulangan untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran. Semakin banyak latihan yang diberi semakin kukuh ikatan antara rangsangan dengan gerak balas seseorang murid. Sebagai contoh, seorang murid diberi latihan Matematik yang banyak, murid itu akan menjadi semakin mahir dan tempoh masa untuk menyelesaikan soalan matematik tersebut semakin singkat. Ini juga dapat mengukuhkan dan meningkatkan kemahiran dan ingatan mereka terhadap isi pembelajaran yang telah dipelajari.
Oleh itu, guru perlu sentiasa memberikan latih tubi, kuiz atau soal jawab yang menyeronokkan supaya murid dapat mengukuhkan dan meningkatkan keberkesanan pembelajaran mereka. Hukum Kesan pula menyatakan bahawa perhubungan antara rangsangan dengan gerak balas akan bertambah kukuh jika terdapat kesan yang menyeronokkan. Manakala kesan yang menyakitkan akan melemahkan perhubungan antara rangsangan dan gerak balas. Ini bermakna, sekiranya seseorang murid mendapat kesan pembelajaran yang menyeronokkan, ini akan mendorong mereka memperolehi pencapaian yang lebih baik. Sebaliknya, jika seseorang murid mendapat kesan yang menyakitkan, gerak balas tersebut akan semakin lenyap. Perkara ini boleh dikaitkan dengan ganjaran dan denda yang diberikan berdasarkan gerak balas yang dihasilkan.
 Juster itu, guru berperanan mewujudkan pembelajaran yang menyeronokkan dengan memberi ganjaran, motivasi dan menyediakan peluang yang sama rata untuk semua murid supaya mereka terdorong untuk belajar. Guru juga perlu memastikan tugasan yang diberi tidak terlalu tinggi supaya murid dapat menyelesaikannya dengan perasaan puas hati seterusnya dapat meningkatkan motivasi mereka untuk belajar. Di samping itu, guru boleh memberikan peluang kepada murid untuk menikmati kejayaan yang diperolehi dalam pembelajaran mereka. Guru tidak boleh memandang rendah terhadap kejayaan yang telah dicapai oleh murid malah guru perlu memberikan sokonganyang padu supaya mereka tidak mudah putus asa dan akan terus mencuba untuk mencapai kejayaan yang mereka ingini.



2.4     Teori Pelaziman Operan B. F Skinner

Teori Skinner telah melanjutkan usaha Thorndike dalam kajian tentang pelaziman. Teori ini merupakan satu teori yang berasaskan rangsangan dan gerak balas. Menurut Skinner (1953) kajiannya menunjukkan pelaziman operan organisma bertindak balas terhadap persekitaran dalam proses pembelajaran. Tingkah laku sebegini bukan semata-mata gerak balas automatik yang dikeluarkan mengikut naluri terhadap sesuatu rangsangan (pelaziman klasik). Manakala Pelaziman Operan dapat meningkatkan kebarangkalian pengulangan sesuatu gerak balas. Selain itu, peneguhan menambahkan kekerapan gerak balas itu. Peneguhan biasanya ditakrifkan sebagai sebarang rangsangan yang dapat menambahkan kebarangkalian gerak balas yang akan berlaku. Dalam situasi pembelajaran manusia, peneguhan merupakan faktor penting untuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan. Peneguhan dapat menghasilkan sesuatu tingkah laku yang menuju ke arah matlamat yang hendak dicapai. Justeru, Teori Peneguhan Skinner menitikberatkan pelaziman di antara sesuatu tingkah laku dengan peneguhan. Oleh itu, peneguhan positif diberi selepas sesuatu tingkah laku maka kebarangkalian tingkah laku itu akan bertambah.
Peneguhan positif merupakan sesuatu yang menyenangkan, misalnya ganjaran kebendaan dan pujian.  Misalnya guru memberi pujian kepada muridnya yang mendapat markah tertinggi. Peneguhan negatif pula merupakan sesuatu yang menyakitkan dan ingin dielakkan oleh setiap individu. Contohya, apabila loceng berbunyi, guru memberi arahan berikut: ‘ Semua murid harus beratur pergi untuk rehat. Jika tidak anda akan kehilangan lima minit masa rehat”. Cara ini mementingkan usaha untuk menyedarkan seseorang tentang kesilapan yang dilakukannya dan bukan semata-mata untuk mendendanya. Sehubungan itu, implikasi Teori Pelaziman Operan Skinner dalam pengajaran dan pembelajaran ialah sesuatu kemahiran atau teknik yang baru dipelajari hendaklah diberi peneguhan secara berterusan dan diikuti secara berkala supaya kemahiran ini dapat dikukuhkan dan dikekalkan. Justeru, peneguhan positif yang membawa keseronokan adalah lebih berkesan daripada peneguhan negatif yang membawa kesakitan.  Selain itu, teori ini juga mampu membantu pelajar menguasai konsep diskriminasi melalui proses pelaziman operan supaya mereka memperoleh ilmu dan kemahiran dengan lebih cepat.




Kesimpulannya, ketiga-tiga tokoh ini (Teori Behavioris) menekankan peranan persekitaran dalam proses pembelajaran. Pembelajaran berlaku dengan wujudnya perkaitan dan perhubungan antara suatu rangsangan dengan suatu gerak balas.Pelaziman klasik dan pelaziman operan adalah contoh teori behavioris yangmenekankan kajian tentang tingkah laku yang dapat diperhatikan. Disebabkan teori ini memberi penekanan terhadap tingkah laku kanak-kanak, maka aktiviti yang menarik akan mendorong murid untuk terlibat aktif dalam proses pembelajaran didalam kelas. Guru pula perlu memainkan peranan dengan menjalankan aktiviti yang menarik dan menyeronokkan untuk menguatkan hubungan antara rangsangan dan gerak balas. Akhir sekali, ganjaran terhadap gerak balas yang baik dan peneguhan perlu diberi kepada murid bagi membantu murid menikmati perkembangan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

3.0       TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF

     Menurut teori pembelajaran mazhab kognitif, pembelajaran merupakan satu proses pembentukan struktur kognitif dan perwakilan minda yang aktif. Pembelajaran kognitif menekankan cara belajar seperti pemikiran celik akal, kaedah penyelesaian masalah, penemuan, kategori pembelajaran dan resepsi. Teori ini menekankan kepada proses mental kanak-kanak. Teori ini juga berasaskan prinsip pembelajaran kognitif yang menerangkan bagaimana pelajar menerima, memproses, menyimpan dan mencari maklumat dalam memori (Ertmer & Newby 1993). Ilmu pengetahuan yang diperoleh bukan berhasil daripada latih tubi dan peneguhan, tetapi lebih merujuk kepada proses interaksi antara skema minda, pengalaman sedia ada dan keadaan baru yang juga melibatkan pengharapan seseorang individu tersebut. Oleh itu, sekiranya seseorang tidak dapat mengenal pasti hubungan perkara dan ertinya yang dipelajari pembelajaran tidak akan berlaku walaupun diberikan latihan berulang-ulang.  Antara ahli-ahli psikologi kognitif seperti Kohler, Piaget, Bruner, Gagne dan Ausebel yang berpendapat bahawa pembelajaran ialah suatu proses mental (kognitif) yang akan berlaku dalam fikiran iaitu tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku manusia. Justeru, kebanyakan situasi, penyelesaian suatu masalah kompleks melibatkan proses dan pemikiran kognitif menyeluruh.

 3.1      Teori Pembelajaran Kohler

Tokoh yang seterusnya ialah Wolfgang Kohler yang mengemukakan Teori Pembelajaran Celik Akal. Teori ini merupakan kebolehan mental yang mendorong manusia mempersepsikan perkaitan unsur-unsur dalam persekitaran secara tiba-tiba demi menolongnya menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi. Teori beliau ini melibatkan aspek persepsi dan struktur pemikiran untuk penyelesaian masalah dengan menggunakan celik akal. Dengan menggunakan celik akal, kita boleh memikirkan tentang alternatif-alternatif yang lain lalu fikir tentang struktur dan persepsi yang baru.
Kohler menggunakan pendekatan kognitif untuk mengkaji bagaimana seekor cimpanzi menyelesaikan masalah untuk mengkaji sebiji pisang yang tergantung di bumbung sangkarnya. Akhirnya cimpanzi tersebut menggunakan celik akal untuk mendapatkan pisang tersebut. Justeru itu, semasa dalam pembelajaran di sekolah, guru haruslah selalu menggalakkan pelajar agar menggunakan celik akal mereka untuk menyelesaikan masalah pelajaran.  Selain itu, kita juga boleh membimbing pelajar untuk menggunakan persepsi mereka untuk menghubungkaitkan unsur-unsur dalam persekitaran. Malahannya, kita sebagai guru juga harus menggunakan contoh-contoh khusus yang berkaitan untuk membimbing pelajar supaya menggunakan celik akal mereka, demi mendapat kesimpulan atau generalisasi.

3.2     Teori Pembelajaran Kognitif Piaget

    Teori seterusnya iaitu Teori Pembelajaran Kognitif Piaget iaitu menekankan pengubahsuaian diri dalam alam sekitar sebagai faktor yang penting untuk perkembangan kognitif individu. Beliau mendapati perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berbeza dan berubah melalui empat peringkat ikut perubahan umur mereka. Selain itu, setiap peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak merupakan faktor penting yang mempengaruhi pembentukan konsep sama ada konkrit atau abstrak. Menurut Piaget sistem ini adalah berbeza-beza daripada sistem logikal yang digunakan oleh orang dewasa.  Teori Pembelajaran Kognitif Piaget (1970) menghuraikan lima pandangan asas iaitu skema, adaptasi keseimbangan, asimilasi dan akomodasi yang berkaitan rapat dengan pembelajaran kognitif seseorang.
Skema merupakan model tingkah laku asas individu semasa proses pengubahsuaian diri dalam alam sekitar. Skema merupakan model tingkah laku asas individu yang ditonjolkan semasa proses pengubahsuaian diri dalam alam sekitar. Contohnya aksi, bahasa, pemikiran, pandangan yang boleh mewakili ciri tingkah laku  skema individu. Adaptasi dan keseimbangan iaitu mengubahsuai skema selaras dengan pembelajaran baru.  Asimilasi ialah proses memasukkan peristiwa baru ke dalam skema yang sedia ada. Oleh itu, asimilasi melibatkan percubaan memahami sesuatu yang baru dengan cara menyesuaikannya ke dalam sesuatu yang telah kita ketahui (Woolfolk, 1998). Contoh, pada peringkat permulaan, seorang kanak-kanak akan memikirkan seekor hamster sebagai tikus belanda yang kecil. Kanak-kanak tersebut akan cuba memadankan pengalaman barunya dengan skema yang sedia ada tentang cara mengenal pasti binatang. Akomodasi akan berlaku apabila individu dapat menukar skema lama untuk disesuaikan dengan pengalaman baru dan seterusnya membentuk skema baru. Contoh di atas, kanak-kanak tersebut akan tambahkan skema baru untuk mengenali hamster kepada sistem lain mengenalpasti binatang. Oleh itu, implikasi Teori Piaget dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu guru perlu menyediakan isi pelajaran mengikut peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak iaitu daripada konkrit kepada abstrak. Selain itu, guru perlu menyediakan pelbagai aktiviti yang menggalakkan penerokaan dan penemuan. Tentukan pelajar bersedia secara mental untuk belajar sesuatu pengalaman dan pembelajaran yang sesuai mengikut peringkat pemikiran kanak-kanak. Hal ini demikan kerana pengetahuan dan kebolehan kanak-kanak berbeza mengikut tahap umur.

3.3      Teori Pembelajaran Gagne

Tokoh seterusnya iaitu Teori Pembelajarn Gagne dikenali sebagai teori pemprosesan data atau maklumat. Kebanyakan idea Gagne tentang analisis tugas menunjukkan pembelajaran berlaku secara berperingkat iaitu bergerak daripada peringkat paling mudah kepada peringkat paling kompleks. Setiap individu menilai input dari persekitarannya, mengenkod dan memindahkannya kepada tindak balas tertentu. Gagne mengasaskan satu hierarki pembelajaran berdasarkan peringkat-peringkat pembelajaran yang spesifik iaitu pembelajaran isyarat, pembelajaran gerak balas, pembelajaran rangkaian motor, pembelajaran bahasa, pembelajaran diskriminasi, pembelajaran konsep, pembelajaran prinsip dan penyelesaian masalah. Menurut Gagne pemeringkatan pembelajaran penting bagi membantu pembelajaran pada setiap peringkat serta penyususnan penyampaian pengajaran dan pembelajaran dari peringkat asas kepada kompleks.
Menurut Gagne, pembelajaran isyarat iaitu individu mempelajari gerak balas terhadap sesuatu isyarat. Contohnya, apabila pelajar mendengar loceng sekolah berbunyi pada pukul 10.00 pagi, mereka mengetahui bahawa masa rehat telah tiba. Seterusnya pembelajaran gerak balas iaitu proses peneguhan penting dalam pembelajaran gerak balas iaitu guru memberikan peneguhan dalam bentuk pujian atau motivasi ekstrinsik. Misalnya guru memberi peneguhan kerana kerja tulisan Siti semakin kemas dan baik. Mengikut Gagne, rangkaian motor merupakan rangkaian yang digunakan dalam kemahiran seperti penulisan, permainan muzik dan sebagainya. Contohnya seorang guru yang mengajar bola jaring perlu mengajar beberapa rangkaian kemahiran kecil seperti kemahiran menerima, menghantar dan menjaringkan bola. Pembelajaran pertalian bahasa mengaitkan lebih daripada satu rangsangan untuk menghasilkan tindak balas misalnya pelajar dapat menghubungkaitkan apa yang dilihat dengan sebutannya. Pembelajaran diskriminasi ialah setiap individu akan menghasilkan tindak balas yang berbeza. Contoh pembelajaran diskriminasi ialah pelajar membezakan sejenis haiwan dengan haiwan yang lain seperti reptilia dengan mamalia. Pembelajaran konsep pula berlaku selepas peringkat pembelajaran rangkaian, pertalian bahasa dan diskriminasi.
Contohnya, untuk mempelajari mengenai reptilia, pelajar perlu mengetahui ciri-ciri asas reptilia dan cara ia membiak. Pembentukan konsep bermula dengan prinsip diskriminasi iaitu mengenali secara tepat. Selain itu, pembelajaran hukum melibatkan penggabungan dua atau lebih konsep berkaitan dalam sesuatu urutan atau rangkaian. Jenis pembelajaran ini melibatkan penggunaan rumus, prinsip, teori dan generalisasi. Contohnya pelajar membuat soalan matematik yang melibatkan operasi tambah dan operasi darab. Peringkat pembelajaran penyelesaian masalah merupakan peringkat akhir. Pembelajaran ini melibatkan penggunaan prinsip, rumus, generalisasi, konsep dan hukum untuk meyelesaikan masalah dalam sesuatu situasi baru dan merupakan peringkat yang paling sukar dan kompleks. Terdapat langkah-langkah yang spesifik dalam proses penyelesaian masalah iaitu mengenal masalah, mencari maklumat, membuat hipotesis, memilih cara menyelesaikan masalah, menguji hipotesis dan membuat rumusan.
Implikasi Teori Gagne terhadap pengajaran dan pembelajaran ialah guru perlu menekankan sistem pembelajarab harus bermula daripada yang mudah kepada rumit. Selain itu, proses pengajaran dan pembelajaran mestilah menurut hierarki kemahiran kecerdasan dan syarat di depan adalah syarat mutlak menguasai jenis pembelajaran kemudian. Berdasarkan teori Gagne ini proses pengajaran dan pembelajaran mestilah dilakukan secara berulang-ulang iaitu pembelajaran melalui rangkaian. Sebagai contoh pengajaran seperti pembacaan teks melalui nyanyian yang berulang kali lebih diingati oleh pelajar berbanding hanya melalui kaedah biasa pembacaan teks.
Kesimpulannya, ahli-ahli psikologi kognitif mengkaji situasi pembelajaran pelbagai yang berfokus pada perbezaan perkembangan kognitif individu yang berbeza. Oleh itu, teori-teori pembelajaran kognitif berasaskan prinsip dan andaian masing-masing serta tidak melahirkan peraturan am seperti yang dirumuskan dalam teori-teori pembelajaran behaviorisme. Justeru, teori pembentukan Gestalt sehingga munculnya pendekatan konstrukturvisme, didapati pemikiran minda dapat diperkembangkan daripada yang berfungsi untuk memproses maklumat baru kepada yang interaksi dua hala antara pengalaman sedia ada dengan ilmu yang diterima untuk membentuk struktur kognitif yang semakin kompleks dan berstruktur.

RUJUKAN

  Mok Soon Sang (2009): Psikologi Pendidikan Untuk Pengajaran & Pembelajaran:Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
         Mok Soon Sang (2012) : Perkembangan Kanak-Kanak: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd
         Ma’rof Redzuan & Haslinda Abdullah (2004): Psikologi Edisi Kedua: UPM
    Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009): Siri Pendidikan Guru Murid dan Alam Belajar :Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.
     Ragbir Kaur Joginder Singh (2012): Panduan Ilmu Pendidikan Untuk Dpli Psikologi: Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Kuala Lumpur
       Woolfolk, A. (2011). Educational psychology. Active learning edition (3rd ed.). Boston, MA: Allyn & Bacon

NAJIHAH BINTI HUSSAIN