Saturday 1 September 2012

TEORI PEMBELAJARAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN



TEORI PEMBELAJARAN PENEMUAN BRUNER

Latar Belakang

Jerome Bruner yang mendapat gelaran sebagai Bapa Teori Psikologi Kognitif telah dilahirkan di New York pada 1 Oktober 1915. Beliau merupakan seorang yang istimewa kerana tidak dapat melihat setelah dijangkiti katarak sewaktu beliau masih bayi. Namun begitu, beliau telah berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Duke dalam jurusan Psikologi. Pada tahun 1937,  beliau mendapat gelaran A.B. 

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Universiti Harvard dalam bidang Kajian Pascasarjana.  Pada tahun 1939, beliau menerima M.A dan Ijazah Kedoktoran pada tahun 1941. Semasa berlakunya Perang Dunia II, beliau berkhidmat di bawah Jeneral Eisenhower di Perang Psikologis Divisi Markas Tertinggi Bersekutu Expeditionary Force Eropah. Beliau juga berperanan penting dalam perancangan Projek Medison yang berkaitan dengan Kurikulum Matematik Moden di Amerika Syarikat.

Beliau telah memperkenalkan pembelajaran konsep melalui proses pengkategorian. Menurut beliau, seseorang murid belajar dengan cara menemui struktur konsep-konsep yang dipelajari. Konsep dibentuk dengan mengasingkan sesuatu benda mengikut ciri-ciri persamaan dan perbezaan. Contohnya konsep segiempat dibentuk dengan mengenal bahawa segiempat mempunyai 4 sisi dan memasukkan semua bentuk bersisi empat ke dalam kategori segiempat dan memasukkan bentuk-bentuk bersisi tiga ke dalam kategori segitiga. Contoh yang lain ialah pengelasan konsep tumbuh-tumbuhan gurun adalah berdasarkan ciri-ciri seperti berakar panjang, daun berduri, kebolehan tumbuhan menyimpan air  dan sebagainya.

Teori pembelajaran yang dipelopori oleh Bruner adalah berpusatkan pembelajaran atau pelajar dan berbentuk induktif. Ini bermakna teori Bruner ini adalah bertentangan dengan teori Ausubel yang berbentuk deduktif. Bruner mementingkan penggunaan pendekatan induktif iaitu pelajar diberikan contoh-contoh yang spesifik sebelum membuat definisi konsep. Guru akan memulakan pengajaran dengan memberikan beberapa contoh positif dan contoh negatif  serta ciri-cirinya diteliti. Murid-murid akan dibimbing oleh guru untuk membuat perbandingan contoh positif dan negatif. Pengelompokkan atau kategori akan dibuat berdasarkan ciri-ciri persamaan. Murid perlu membuat rumusan mengikut kategori yang dibentuk dan seterusnya definisi konsep dibina.

3 Peringkat Pembelajaran 

Menurut Bruner, pembelajaran konsep melibatkan proses pengkategorian. Konsep tersebut telah dibahagikannya kepada tiga kategori iaitu enaktif yang berasaskan perlakuan, ikonik yang berasaskan imejan dan simbolik yang berasaskan bahasa. Mengikut susunan daripada enaktif kepada ikonik dan akhir sekali imejan adalah perkara yang penting dalam mempelajari sesuatu konsep kerana ketiga-tiga kategori ini sangat berkait rapat antara satu sama lain. 

Peringkat enaktif berlaku pada kanak-kanak yang berusia 0-2 tahun. Pembelajaran pada peringkat ini adalah melalui tindakan manipulatif kerana ia belum lagi melibatkan bahasa. Mereka akan menggunakan anggota deria untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Mereka juga perlu memegang dan menggunakan bahan maujud  untuk memperoleh pengertian. Misalnya, kanak-kanak kecil menyentuh api untuk mengetahuinya sama ada ianya panas dan boleh melecurkan ataupun melontarkan bola untuk mengetahui sama ada ia boleh melambung dan berguling.

Seterusnya, peringkat ikonik yang berlaku pada kanak-kanak yang berusia 2-4 tahun yang merupakan peringkat sanggup membentuk penanggapan atau persepsi dan membina gambaran dalam mental. Mereka mempunyai kebolehan mental untuk menyimpan imej dalam fikiran sehingga mampu untuk menggambarkan dan membayangkan sesuatu dalam fikiran dan menyimpan imej dalam fikiran mereka. Contohnya, tanpa melihat gambar bunga, kanak-kanak boleh melukis gambar tersebut kerana dia melukis gambar berdasarkan bayangan atau imej yang disimpan dalam otaknya. Pada usia ini juga, kanak-kanak dapat membentuk penanggapan dan membina gambaran mental. Contohnya, walaupun tanpa melakukan aktiviti lasak seperti memanjat, kanak-kanak tersebut sudah tahu bahawa aktiviti itu boleh menyebabkan dia terjatuh.

            Pemikiran pada usia 5-7 tahun dinamakan peringkat simbolik. Pada peringkat ini, pengalaman yang diperoleh kanak-kanak dapat dipersembahkan dengan menggunakan simbol seperti perkataan, bahasa dan formula serta kanak-kanak boleh memindahkan pengalaman mereka ke dalam bentuk bahasa. Mereka juga dapat berfikir secara abstrak dan membuat penaakulan logik.

Pembelajaran kanak-kanak berkembang dari peringkat motor-sensori (enaktif) ke peringkat penanggapan konkrit (ikonik) dan akhirnya ke idea abstrak (simbolik). Oleh itu, pengajaran juga haruslah berkembang mengikut turutan sedemikian. Ini bermaksud pengajaran perlu dirancangkan untuk membantu kanak-kanak memperoleh pengalaman pada permulaan, kemudian bertindak balas dengan penyampaian konkrit dan akhirnya persembahan dalam bentuk simbol. Ketiga-tiga proses ini saling berkaitan dan membantu kanak-kanak untuk menyelesaikan masalah. Contoh situasi pembelajaran mengikut urutan ini ialah pada peringkat enaktif, kanak-kanak cuba menunggang basikal. Peringkat ikonik pula kanak-kanak boleh membayangkan cara berbasikal dengan baik. Seterusnya dapat menceritakan pengalaman berbasikal dalam bentuk bahasa kepada rakan sebaya pada peringkat simbolik.

Pembelajaran Konsep Melalui Penemuan

Pada pendapat Bruner, pembelajaran konsep merupakan satu cara individu membezakan dan mengkategorikan sesuatu benda atau perkara yang mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.  Setiap objek, kejadian atau idea mempunyai satu set ciri-ciri yang umum. Ia turut melibatkan beberapa proses seperti mengingat kembali, membuat perkaitan maklumat baru dengan yang lama serta membuat subkategori.

Melalui pembelajaran ini, kanak-kanak akan membandingbezakan kumpulan atau kategori tertentu yang mempunyai ciri-ciri yang relevan dengan kumpulan atau yang tidak relevan. Mereka perlu memikirkan sifat-sifat dalam sesuatu kumpulan atau kategori yang telah dibentuk oleh guru mereka. Kemudian, mereka perlu membanding beza contoh-contoh sesuatu kumpulan atau kategori yang mempunyai sifat-sifat tersebut dengan contoh-contoh yang tidak mempunyai sifat-sifat tersebut.

Teori Pembelajaran Induktif 

Di bawah pembelajaran konsep Bruner, maklumat disusun secara induktif iaitu bermula dari spesifik ke umum untuk membantu kanak-kanak memahami pembentukan konsep. Mengikut kajian Jerome Bruner,  guru seharusnya membekalkan kanak-kanak dengan pelbagai pengalaman untuk membantu mereka menemui idea, konsep atau pola yang diperkenalkan. Teori pembelajaran induktif lebih kepada membekalkan kanak-kanak dengan satu jurang pengalaman yang dapat menambahkan kebiasaan mereka tentang konsep baru yang dipelajari. Di sini, guru tidak memberikan definisi konsep yang diajar tetapi pemahaman konsep kanak-kanak adalah dibina secara perlahan hasil daripada pendedahan kanak-kanak kepada pelbagai aktiviti dan pengalaman.

Pembelajaran Penemuan 

Pembelajaran penemuan adalah suatu pembelajaran yang berbentuk inkuiri. Ianya melibatkan situasi penyelesaian masalah yang dilalui sendiri oleh murid. Mereka akan mengaitkan sendiri pengalaman mereka yang telah lepas dengan pengetahuan semasa untuk menemukan maklumat baharu yang sedang mereka terokai. Dengan cara ini, meraka akan lebih mudah memahami dan mengingati sesuatu perkara yang baru dipelajari. 

Guru akan bertindak sebagai pembimbing untuk memberi panduan yang sesuai kepada murid dengan mengemukakan masalah atau fenomena dan mengawasi aktiviti murid. Pembelajaran menerusi proses inkuiri membolehkan pembelajaran secara aktif berlaku kerana pelajar perlu meninjau sendiri masalah yang diberi. Contohnya, berapakah suhu didih air?

Kemudian, pelajar dikehendaki menyiasat bagaimana fenomena ini boleh terjadi. Mereka boleh meneliti pelbagai alternatif dan data, membuat hipotesis dan menguji hipotesis yang telah dibuat sebelum membuat rumusan. Setelah jawapan diperoleh, jawapan tersebut dibincangkan bersama guru dan pelajar lain di dalam kelas.

Implikasi Teori Pembelajaran Bruner Terhadap Pengajaran dan Pembelajaran

Guru perlu menyediakan bahan bantu mengajar yang sesuai semasa proses pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap kebolehan mereka. Sebagai contoh, guru perlu membawa banyak bahan bantuan mengajar dalam bentuk gambar yang besar dan berwarna-warni ketika mengajar murid Tahun Dua. Manakala untuk murid Tahun Enam, guru boleh menggunakan kaedah  pembelajaran penemuan di dalam kelas.

Kanak-kanak perlu diberi peluang untuk meneroka, menyentuh dan merasa supaya mereka memperoleh pengalaman yang boleh mewujudkan proses pembelajaran yang bermakna. Guru boleh memberikan situasi penyelesaian masalah dan membimbing murid dengan menyediakan bahan, menyuruh pelajar membuat pemerhatian, membentuk hipotesis dan menguji penyelesaian.

Guru juga boleh memberi contoh yang berkaitan dan contoh yang tidak berkaitan ketika mengajar supaya murid dapat melihat persamaan dan perbezaan idea-idea dalam sesuatu konsep. Penggunaan bahan-bahan sokongan seperti gambar, carta dan objek boleh digunakan untuk memudahkan murid memahami proses pembentukan konsep.

TEORI PEMBELAJARAN PENERIMAAN AUSUBEL

Latar Belakang

David Ausubel dilahirkan pada 25 Oktober 1918 dan telah dibesarkan di Brooklyn, New York. Beliau telah mendapat pendidikan di Universiti Pennsylvania. Di universiti itulah, beliau telah dianugerahkan Sijil Kehormat pada tahun 1939 dengan menerima Ijazah Sarjana Muda dalam major Psikologi. Kemudian beliau menamatkan pelajaran beliau di Sekolah Perubatan di Universiti Middlesex pada tahun 1943. Beliau juga telah berkhidmat dengan Jabatan Pertahanan US Public Health Service. Pada tahun 1950, beliau telah mendapat M.A dan Ijazah Kedoktoran dalam Psikologi Perkembangan dari Universiti Columbia. 

Pada tahun 1973, beliau bersara dari bidang akademik dan menyertai latihan psikiatri. Ketika itulah Ausubel telah menghasilkan pelbagai judul buku dan artikel tentang psikiatri dan jurnal psikologikal. Pada tahun 1976, beliau telah menerima Anugerah Thorndike dari Persatuan Psikologi Amerika bagi sumbangan beliau yang memberangsangkan dalam bidang psikologi dalam pendidikan. Pada umur 75 tahun, Ausubel bersara dari bidang professional dan melibatkan diri sepenuhnya dalam penulisan dan telah menghasilkan empat buah buku yang terkenal.

Teori Pembelajaran Ausubel

David Ausubel merupakan seorang ahli psikologi Amerika dalam bidang Psikologi Pendidikan, Sains Kognitif dan juga pembelajaran dalam Pendidikan Sains.  Beliau terkenal dengan teori pembelajaran secara penerimaan. 

Mengikut pendapat Ausubel, pembelajaran bermakna berlaku apabila bahan pengajaran yang digunakan juga merupakan bahan yang bermakna. Terdapat dua aspek bahan yang bermakna ini iaitu teks pengajaran dan juga aspek penyampaian ilmu oleh guru. Menurut Ausubel, sekiranya kedua-dua aspek ini digabungkan maka akan terhasillah pembelajaran yang bermakna kerana murid dapat memperoleh banyak maklumat yang dapat dikuasai secara serentak melalui bahan pembelajaran yang berkesan iaitu melalui teks dan juga penyampaian ilmu oleh guru.

Menurut beliau lagi, pembelajaran bermakna ialah satu proses di mana murid itu sendiri mempunyai kesedaran dan tujuan dalamannya. Selain itu, bahan-bahan pembelajaran yang dipelajarinya juga adalah bermakna untuknya. Sekiranya murid hanya mempunyai tujuan untuk menghafal sahaja, maka hasil pembelajaran adalah berupa hafalan dan tidak bermakna. Menurut Ausubel, terdapat dua syarat untuk menjadikan pembelajaran melalui penerimaan ini menjadi bermakna iaitu murid mesti mempunyai sikap dan tujuan yang positif terhadap aktiviti pembelajaran dan pengetahuan sedia ada dalam struktur kognitif murid yang harus digunakan untuk mengaitkan dengan pelajaran baru.

Advance Organizer
atau Pengurusan Awal

Advance Organizer bermaksud pengurusan atau pendedahan awal. Ausubel memperkenalkannya untuk menyesuaikan skema pelajar dengan bahan pembelajaran supaya pembelajaran optimal berlaku. Salah satu strategi untuk memastikan wujudnya kesesuaian tersebut ialah memulakan pembelajaran berpandukan kepada penyusunan awal. Ia merupakan struktur yang menerangkan hubungan antara konsep-konsep yang hendak disampaikan pada hari tersebut.

Advance Organizer perlu diberikan kepada murid sebelum sesuatu pengajaran sebenar dilakukan untuk memastikan murid mendapat pendedahan awal mengenai topik pengajaran yang baru. Ianya juga membolehkan murid mempelajari dan memahami perkara-perkara asas yang berkaitan dengan topik yang bakal dipelajarinya nanti supaya murid dapat memahami topik pelajaran sebenar dengan lebih mendalam.  Sebagai contoh, sebelum guru ingin mengajar topik ukuran kepada murid,  guru harus memastikan murid-muridnya dapat membuat perbandingan terhadap saiz fizikal, kuantiti dan nilai benda tanpa melibatkan unit ukuran. 

Dua Jenis Pengurusan Awal

1)  Pengurusan Awal Perbandingan/ Komparatif  
Pengurusan awal perbandingan/komparatif merujuk kepada pengetahuan sedia ada yang berkaitan dengan isi pelajaran yang akan dipelajari. Pengetahuan sedia ada dalam struktur kognitif akan digunakan untuk mempelajari maklumat baru. Sebagai persediaan menerima maklumat baru, penyusunan semula maklumat awal akan berlaku dalam struktur kognitif. Ini bermakna murid akan mengingat kembali maklumat yang telah wujud dalam pemikiran.

2) Pengurusan Awal Ekspositori.
            Pengurusan awal ekspositori pula diberikan oleh guru jika pelajar tidak atau belum mempunyai pengetahuan sedia ada yang ada kaitan dengan isi pelajaran yang akan dipelajar. Guru akan memberikan maklumat awal dalam bentuk gambaran, teks, lakaran peristiwa dan sebagainya untuk memudahkan mereka menerima maklumat baru kelak.

Maklumat tersebut didedahkan atau dipersembahkan lebih awal agar pelajar mempunyai pengetahuan sedia ada untuk mempelajari maklumat baharu. Contohnya, jika mereka tidak tahu tentang logam, guru perlu mengajar tentang logam terlebih dahulu sebelum mengajar topik aloi. Dengan cara ini, pelajar akan lebih mudah menerima maklumat yang disampaikan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Pembelajaran Konsep Melalui Penerimaan  
   
Konsep merupakan kategori mental tentang objek, peristiwa atau set idea yang mempunyai ciri-ciri yang sama. Keupayaan melihat ciri-ciri persamaan satu-satu kategori objek atau peristiwa dinamakan pembelajaran konsep. 

Menurut Ausubel, sekiranya guru menyampaikan pengajarannya secara terancang iaitu bermula dengan mengaitkan pengetahuan sedia ada dan disusun secara berperingkat - peringkat, pembelajaran bermakna boleh berlaku. Guru hendaklah menggunakan pendekatan deduktif iaitu menyusun atau menyampaikan maklumat iaitu daripada pemahaman konsep umum kepada idea yang khusus berasaskan laras bahasa yang sesuai dengan keupayaan murid. Murid dapat memperoleh maklumat dengan lebih cepat dengan penggunaan Advance Organizer ataupun Penyusunan Awal. Guru juga perlu menyusun langkah pengajaran dan penyampaiannya secara sistematik apabila mengajar sesuatu konsep untuk membantu murid mempelajari sesuatu perkara dengan sempurna. Ini bermakna, murid memperoleh maklumat dengan menerima ilmu yang disampaikan oleh guru.

Contohnya guru ingin mengajar konsep pen. Terlebih dahulu guru perlu mempersembahkan Advance Organizer seperti menunjukkan gambar lakaran alat tulis pelbagai jenis, lakaran dan tulisan yang menggunakan dakwat dan bukan dakwat. Setelah itu guru perlu mengemukakan contoh positif dengan menunjukkan pelbagai jenis pen seperti pen dakwat celup, pen magik, pen marker dan pen mata halus. Guru boleh memberi masa dan peluang kepada murid menggunakan pen tersebut. 

Kemudian, guru boleh menunjukkan contoh negatif  yang menyerupai dengan pen iaitu alat tulis lain seperti pensel, karyon dan pensel warna. Murid dibenarkan untuk menggunakan alat-alat tersebut dalam tempoh yang ditetapkan. Guru boleh berbincang bersama murid tentang ciri-ciri persamaan dan perbezaan  berdasarkan contoh positif dan negatif. Rumusan atau konsep boleh dibina dengan mengatakan pen ialah alat tulis yang menggunakan dakwat. Guru juga boleh memberikan contoh tambahan berkaitan pen.  

Implikasi Teori Pembelajaran Ausubel Terhadap Pengajaran dan Pembelajaran

Maklumat umum tentang sesuatu topik perlu dipersembahkan sebelum memberikan contoh khusus dan membincangkan topik secara terperinci berkenaan. Contohnya, jika guru ingin mengajar konsep burung, guru perlu menjelaskan definisi dan ciri-ciri burung terlebih dahulu sebelum menjelaskan pelbagai jenis burung. 

 Seterusnya, dengan pengetahuan sedia ada, guru dapat membantu murid membuat perbandingan maklumat baharu dengan maklumat atau pengetahuan sedia ada. Maklumat dalam bentuk yang sesuai dengan keupayaan murid perlu diberikan supaya murid dapat  memahami pembelajaran baharu sekiranya mereka tidak ada pengetahuan terdahulu yang berkaitan dengan pembelajaran baharu. 

Guru juga perlu menyusun atur penyampaian pengajaran dan pembelajaran secara sistematik, langkah demi langkah serta menggunakan bahan serta laras bahasa yang sesuai dengan peringkat umur pelajar. Contohnya, jika guru ingin mengajar topik Tanaman Hidroponik, guru boleh menggunakan satu penyusunan awal dalam bentuk gambar sayuran hidroponik dan ciri-cirinya.

Guru juga perlu menyediakan dan menggunakan alat bantu mengajar yang konkrit mengikut tahap pemikiran murid untuk membantu pemahaman murid serta penyampaian guru. Contohnya, guru boleh menyediakan bahan maujud peralatan hidroponik seperti takung, penutup takung, medium semaian, larutan nutrien dan raga tanaman ketika mengajar tajuk Tanaman Hidroponik.



TEORI PEMBELAJARAN SOSIAL

Teori ini diasaskan oleh Albert Bandura pada tahun 1986 melalui tulisannya dalam buku yang bertajuk Social Foundations of Thought and Action yang menerangkan kerangka Kognitif Sosial. Menurut Mazhab Sosial, pembelajaran boleh berlaku dalam konteks sosial iaitu manusia belajar daripada orang lain yang terdapat di sekitarnya dengan memerhati tingkah laku orang lain dalam kehidupan seharian.

Menurut teori kognitif sosial, latar belakang kebudayaan seseorang individu merupakan faktor utama dalam pembentukan tingkah lakunya. Bandura mengatakan bahawa pembelajaran secara peniruan melibatkan tiga unsur iaitu individu (kognitif), persekitaran dan tingkah laku itu sendiri (Ormrod, 2008). Individu yang meniru tingkah laku orang lain, menjadikan orang yang ditiru itu sebagai model. Terdapat dua model iaitu  model sebenar/hidup dan model simbolik. Melalui model sebenar, kita belajar melalui orang yang sebenar. Manakala model simbolik dapat  dilihat menerusi video, lakonan watak dalam cerita atau rajah.

TEORI PERMODELAN BANDURA

Latar Belakang

             Beliau dilahirkan pada 4 Disember 1925 di sebuah perkampungan kecil di sebelah utara Alberta, Kanada. Bapanya seorang petani dari Poland. Beliau mendapat pendidikan di sekolah tinggi yang mempunyai dua orang guru dan dua puluh orang pelajar. Pada tahun 1949, beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Psikologi daripada Universiti British Columbia. Pada tahun 1952, beliau mendapat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah daripada Universiti Iowa. Kemudian, beliau bekerja di Fakulti Psikologi di Universiti Stanford. Tahun 1964, beliau menjadi profesor sepenuh masa di Fakulti Psikologi di Universiti Stanford. Beliau telah menghasilkan buku yang bertajuk Adolescent Aggression (1952) dan Sosial Learning and Personality Development (1963) serta Principles of Behaviour Modification (1969).

Ekperimen Bandura

            Pada tahun 1963, Bandura dan Walters menggunakan sekumpulan kanak-kanak tadika berumur 3 hingga 6 tahun untuk menjalankan kajian mereka. Hasil daripada kajian tersebut berjaya membuktikan bahawa kanak-kanak keseluruhannya meniru model yang ditonton dengan gaya yang lebih agresif. Beliau merumuskan bahawa pelbagai tingkah laku sosial seperti keagresifan, persaingan, peniruan model dan sebagainya adalah hasil pemerhatian daripada gerak balas yang ditonjolkan oleh orang  lain.

 Eksperimen yang pertama

Terdapat dua kumpulan yang mereka gunakan iaitu Kumpulan A (kumpulan kajian) di mana dalam kumpulan ini, kanak-kanak tersebut memerhati sekumpulan orang dewasa yang sedang menumbuk, menendang sebuah patung besar yang dinamakan Patung Bobo. Dalam kumpulan B (kumpulan kawalan) pula, kanak-kanak tersebut memerhati sekumpulan orang dewasa bermesra dengan patung Bobo tersebut.

            Kemudian, kedua–dua kumpulan kanak-kanak tersebut dibawa ke tempat permainan yang serupa dengan situasi eksperimen tersebut. Pemerhatian menunjukkan  bahawa kanak-kanak kumpulan A bukan sahaja memukul, menumbuk, menendang dan menjerit kepada patung tersebut, bahkan juga menunjukkan tingkah laku yang lebih agresif daripada tingkah laku orang dewasa yang telah diperhatikan melalui video tersebut. Manakala kanak-kanak kumpulan B tidak menunjukkan sebarang tingkah laku agresif seperti yang terdapat dalam kumpulan A.

Kesimpulannya, hasil daripada eksperimen yang pertama ini menunjukkan tingkah laku kanak-kanak adalah dipelajari melalui peniruan atau pemodelan.

Eksperimen  yang kedua 

Bandura dan Walters membahagikan kanak-kanak dalam tiga kumpulan iaitu dua kumpulan (A dan B) sebagai kumpulan kajian dan satu kumpulan C sebagai kumpulan kawalan.

Dalam Kumpulan A (kumpulan kajian), kanak-kanak memerhati sekumpulan orang dewasa menumbuk patung besar, kemudian mendapat hadiah. Kumpulan B (kumpulan kajian) pula, kanak-kanak memerhati sekumpulan orang dewasa menumbuk patung besar, kemudian mendapat denda. Kanak-kanak Kumpulan C (kumpulan kawalan) disuruh memerhati sekumpulan orang dewasa bermesra dengan patung besar.

Selepas pemerhatian, ketiga-tiga kumpulan dibawa ke tempat permainan yang serupa dengan situasi eksperimen tersebut. Didapati bahawa kanak-kanak Kumpulan A menunjukkan tingkah laku agresif yang berlipat ganda berbanding dengan orang dewasa yang diperhatikan oleh mereka. Manakala kanak-kanak dari Kumpulan B dan Kumpulan C tidak menunjukan sebarang tingkah laku agresif mereka. 

Kesimpulannya, hasil daripada eksperimen yang kedua ini jelas menunjukkan tingkah laku peniruan atau pemodelan adalah hasil peneguhan. Berdasarkan rumusan ini, Bandura mengemukakan teori pemerhatian untuk menjelaskan pelbagai tingkah laku sosial yang dipelajari oleh kanak-kanak.


2 Jenis Pembelajaran Melalui Pemerhatian

Pembelajaran melalui pemerhatian juga berlaku melalui pemberian peneguhan dan ganjaran. Ini berlaku apabila kita mengubah tingkah laku setelah melihat orang lain diberi ganjaran atau denda untuk tindakan tertentu. Contohnya, sekiranya kita memuji dua orang murid kerana rajin dan tekun membuat latihan di dalam kelas maka murid-murid yang memerhatikannya mungkin akan berubah tingkah laku dengan membuat kerja dengan lebih tekun pada masa akan datang. Begitu juga dengan denda. Contohnya, selepas melihat beberapa orang mendapat saman kerana memandu dengan laju, kita juga akan mengurangkan had kelajuan semasa memandu.

            Pembelajaran pemerhatian yang seterusnya ialah pemerhati meniru tingkah laku model walaupun model tersebut tidak menerima sebarang peneguhan atau denda semasa diperhatikan oleh pemerhati. Selalunya model menunjukkan sesuatu yang hendak dipelajarinya oleh pemerhati dan mengharapkan peneguhan apabila dapat menguasainya. Contohnya pensyarah Muzik bermain piano dengan teknik penjarian yang betul dan lembut sehingga menimbulkan rasa kagum pada diri pemerhati. Peniruan berlaku apabila pemerhati hanya mahu menjadi seperti model yang dikaguminya.

Prinsip Pembelajaran Melalui Pemerhatian/ Permodelan

Eksperimen yang dilakukan oleh Bandura adalah pembentukan sesebuah tingkah laku yang boleh berlaku melalui beberapa cara iaitu:

1. Peniruan secara langsung
Peniruan berlaku apabila kanak-kanak melihat model orang lain melakukan sesuatu atau secara tidak langsung iaitu dengan menonton filem, video, mendengar huraian atau melihat gambar foto. Contohnya, kanak-kanak meniru guru Pendidikan Jasmani mengelecek bola.

2. Peniruan secara tidak langsung
Peniruan berlaku apabila kanak-kanak berimaginasi atau melalui pemerhatiannya. Contohnya, kanak-kanak meniru watak kartun Ninja Turtle dengan melakukan lompatan ke sana sini dalam kelas Pendidikan Jasmani.

3. Peniruan gabungan
            Peniruan ini dilakukan dengan melakukan beberapa tingkahlaku yang berlainan. Contohnya, murid meniru gaya guru sukan memukul bola Sofbol dan gaya pemain Sofbol antarabangsa.

4. Peniruan melalui sekatlakuan dan tak sekatlakuan
Sekatlakuan merupakan sekatan tingkah laku yang sesuai di dalam situasi A tetapi tidak sesuai dalam situasi B. Ini bermakna tindakan tersebut boleh dilakukan dalam situasi tertentu sahaja. Contohnya, murid yang boleh bersorak-sorak dan berlari-lari di padang tidak melakukannya di dalam bilik darjah kerana jika mereka melakukannya semasa guru mengajar, sudah pasti guru akan memarahi dan memberi tahu perlakuan yang dilakukan tidak dibenarkan dilakukan di dalam kelas. 

Murid-murid juga meniru melalui tak sekatlakuan. Ini bermakna murid-murid akan terus meniru sesuatu amalan di dalam mana-mana situasi. Contohnya, tutur kata dan tingkah laku yang sopan boleh diamalkan di mana-mana sahaja sama ada di rumah, sekolah dan sebagainya.

5. Peniruan melalui elisitasi
Peniruan ini melibatkan emosi dan keinginan.  Proses ini timbul apabila seseorang melihat perubahan pada orang lain sehingga timbul keinginan untuk melakukan perkara yang sama seperti yang dilihatnya. Contohnya, seorang kanak-kanak melihat rakannya melukis bunga dan timbul keinginan dalam diri kanak-kanak tersebut untuk melukis bunga. Oleh itu, peniruan berlaku apabila kanak-kanak tersebut melihat rakannya melukis bunga (Ramlah Jantan & Mahani Razali, 2004).

Langkah Pembelajaran Peniruan

1)  Pemerhatian
Menurut Bandura dan Walters (1963) dalam buku mereka "Sosial Learning & Personality Development", hanya dengan memerhati seorang lain pembelajaran boleh berlaku. Pemerhati harus memberi tumpuan kepada tingkahlaku model untuk membolehkannya mempelajari sesuatu dengan menggunakan anggota derianya. Pemerhatian boleh dilakukan dengan memberi perhatian atau tumpuan kepada nilai, harga diri, sikap, dan lain-lain yang dimiliki. Contohnya, seorang pemain muzik yang tidak yakin diri mungkin meniru tingkahlaku pemain muzik terkenal sehingga tidak mewujudkan stailnya yang tersendiri. 

2) Penyimpanan dalam ingatan
Pemerhati harus menyimpan peristiwa yang diperhatikannya dalam sistem ingatannya dalam pelbagai cara seperti dalam bentuk koding, grafik mental, simbolik dan sebagainya. Ini membolehkan pemerhati melakukan tingkah laku yang ingin ditiru pada waktu lain.

3) Reproduksi
Setelah berlakunya penyimpanan maklumat, tingkah laku dan kemahiran yang disimpan akan dikeluarkan dalam bentuk tingkahlaku. Sekiranya kerap membuat latihan meniru tingkah laku model, seseorang akan berupaya melakukan tingkah laku yang hampir sama dengan model yang dilihatnya. Contohnya, murid melakukan aktiviti menghantar dan menyambut bola secara berpasangan. Pada mulanya, kemahiran tersebut tidaklah sebaik tingkah laku model. Tetapi setelah kerap membuat latihan, murid tersebut sudah boleh melakukan aktiviti tersebut dengan baik seperti modelnya.

4) Peneguhan dan motivasi
Seseorang yang melakukan peniruan mungkin disebabkan oleh faktor-faktor motivasi seperti intensif atau ganjaran. Setelah mendapat peneguhan atau motivasi daripada orang lain atau disebabkan perasaan gembira dan berjaya, individu tersebut akan terus mengulangi tingkah laku tersebut. Contohnya, setelah mendapat pujian atau ganjaran daripada guru atau rakan-rakan, kemahiran menghantar bola dan menyambut bola seseorang akan menjadi lebih mahir dan cekap seterusnya berkeinginan untuk bermain bola jaring. Murid lain yang melihatnya juga akan bermotivasi apabila melihat murid tersebut mendapat pujian hasil daripada tingkah laku yang ditunjukkannya.

Implikasi Teori Pembelajaran Bandura Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran 
    
Guru perlu memastikan setiap orang murid berpeluang untuk memerhati dan mencontohi pelbagai jenis model yang menunjukkan tingkah laku yang diingini.  Oleh itu, kita hendaklah memastikan bahawa kita sendiri boleh menunjukkan tingkahlaku yang boleh dicontohi serta memaklumkan kepada anak murid tentang kesan sesuatu tingkahlaku yang tidak bermoral.

Guru juga mestilah mempunyai kemahiran komunikasi agar setiap kali sesi demonstrasi pembelajaran di dalam kelas, murid dapat mendengar penerangan kita dengan jelas, dapat difahami dan dapat diikuti oleh murid dengan mudah dan tepat. Contohnya, jika guru mengajar cara-cara untuk menghasilkan lukisan, guru mestilah menerangkan dahulu langkah-langkahnya agar dapat diikuti oleh murid secara mudah.

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu menyemai nilai-nilai murni dan sentiasa menggunakan psikologi untuk membentuk murid ke arah yang lebih proaktif dan produktif. Contohnya, guru boleh membuat aktiviti seperti kuiz, teka-teki, bercerita dan bertanyakan pelbagai soalan yang mencabar minda kepada murid agar kemahiran kognitif mereka dapat berkembang secara berterusan. Dengan ini, murid dapat berimaginasi dan seterusnya dapat memikirkan idea-idea baharu dan bernas sesuai dengan tahap mereka.

Guru juga boleh membawa bahan bantu mengajar atau contoh-contoh yang berkenaan dengan apa yang dipelajari di dalam kelas agar murid dapat melihat secara terus dan seterusnya lebih memahami dengan apa yang diajar oleh gurunya. Contohnya, guru yang ingin mengajar tanaman hidroponik dalam matapelajaran Kemahiran Hidup boleh membuat bahan separa maujud seperti Rumah Pelindung Hujan.

Guru juga boleh memanggil seorang murid agar menjadi contoh kepada murid lain berdasarkan kerjanya yang bagus ataupun untuk membuat demonstrasi mengenai hasil kerja terbaik yang dihasilkannya itu. Dengan ini, murid boleh belajar daripada rakan-rakan dan meniru idea-idea yang berkualiti yang terdapat dalam kerja-kerja mereka.

Seterusnya, kita sebagai guru perlu memastikan dan berusaha menyediakan persekitaran sosial yang kondusif dengan memberi insentif, peneguhan dan sokongan moral kepada murid-murid secara berterusan bagi menggalakkan berlakunya tingkahlaku yang baik dalam kalangan murid-murid pada masa kini. 





TEORI PEMBELAJARAN HUMANISTIK   
      
Menurut Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah (2009), pendekatan ini melihat pelajar sebagai insan berpotensi, bermotivasi dan berkeupayaan untuk belajar dan berkembang. Menurut Choong (2008) pula, pendekatan ini menumpukan kepada perkembangan konsep kendiri, motivasi intrinsik dan kesedaran kendiri murid-murid.

Teori ini menumpukan perhatian kepada manusia sebagai insan yang baik, murni dan sentiasa berkembang ke arah kebaikan. Pakar – pakar psikologi kemanusiaan seperti Carl Ransom Rogers dan Abraham H. Maslow selalu menekankan yang perkembangan diri ke arah kesempurnaan kendiri individu sebagai pengacara bagi pelbagai tenaga yang bertugas untuk membentuk personaliti seseorang.

TEORI PEMBELAJARAN CARL RANSOM ROGERS

Latar Belakang 
 
Carl Rogers dilahirkan pada 8 Januari 1902 di Oak Park, Illinois. Beliau dikenali sebagai salah seorang daripada ahli psikologi yang paling berpengaruh di Amerika. Beliau pernah belajar di bidang Agrikultural dan Sejarah di University of Wisconsin. Pada tahun 1927, beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi dari Columbia University Teachers College. Kemudian beliau menyertai Rochester Society for the Prevention of Cruelty to Children (RSPCC) sebagai ahli psikologi kanak-kanak dan dinaikkan pangkat menjadi ahli lembaga RSPCC. Pada 1931, beliau mendapat Ijazah Kedoktoran daripada Columbia University Teachers College.

Teori Pembelajaran Pengalaman

Carl Rogers beranggapan bahawa manusia pada dasarnya adalah baik dan berkeinginan tinggi untuk mencapai potensi diri. Oleh itu, pembelajaran merupakan naluri semula jadi manusia.  Murid akan terdorong untuk menyertai aktiviti pembelajaran yang paling berkesan sekiranya terdapat bahan pembelajaran yang bermakna. Apabila murid mengambil inisiatif sendiri dan mahu melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran, hasil pembelajaran yang diperoleh adalah amat berkesan. 

Aktiviti pembelajaran harus berasaskan kehidupan harian supaya dapat memupuk kemahiran dalam diri dan kehidupannya. Bagaimanapun menurut beliau, pembelajaran yang paling berkesan ialah belajar pembelajaran (learn to learn) iaitu belajar bagaimana belajar. Disebabkan anggapan tersebut, seseorang itu gagal bukanlah kerana berpunca daripada dirinya sendiri tetapi suasana pembelajaran yang kurang sesuai. 
 
Teori pembelajaran pengalaman mengutamakan pelajar terlibat secara langsung dalam proses pembelajaran. Pembelajaran ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu pembelajaran kognitif yang mementingkan akademik semata- mata seperti operasi tambah tolak atau kosa kata. dan pembelajaran pengalaman yang melibatkan aplikasi pengetahuan. Contohnya, belajar menjahit dan memasak, membaiki motosikal dan sebagainya.

Pembelajaran Pengalaman

Teori pembelajaran pengalaman mengutamakan murid terlibat secara langsung dalam proses pembelajaran. Dalam pembelajaran ini, murid akan belajar secara sendiri atau secara berkumpulan. Mereka akan melibatkan diri secara aktif dalam proses membuat iaitu dengan merancang, membuat kajian, menghasilkan sesuatu yang pasti akan ada hasil dan kesan yang merangsangkan. Disebabkan itu, mereka perlu meneroka, mencari jalan penyelesaian, membuat uji kaji, kajian dan sebagainya.

Pembelajaran ini berbeza dengan pembelajaran kognitif kerana murid hanya belajar di dalam kelas, membaca dan berbincang tentang pengalaman orang lain.  Pembelajaran ini juga dapat memupuk semangat bekerjasama, berfikir, merancang, menghayati nilai dan memupuk sikap yang baik. Murid juga dapat belajar bertanggungjawab ke atas pembelajaran sendiri.

Menurut Rogers lagi, murid-murid lebih mudah menerima pembelajaran apabila ancaman luaran berada pada tahap minimum (Noriati Arashid & Boon Pong Ying, 2009). Contohnya, keadaan bilik darjah yang tenang dan selesa serta selamat kepada murid-murid.  Meja dan kerusi disusun dengan teratur supaya murid-murid berminat untuk belajar.  Keadaan bilik darjah yang bersih, ceria dan selamat membolehkan murid  belajar dengan rasa yang selesa dan tenang. Keselamatan murid ketika mereka berada dalam bilik darjah atau luar bilik darjah tersebut juga perlu dititikberatkan oleh guru. Contohnya, tiada murid lain yang melakukan perbuatan buli terhadap murid lain.

Implikasi Teori Pembelajaran Carl Rogers Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran

Suasana bilik darjah yang kondusif perlu disediakan supaya murid dapat belajar dengan selamat dan tenang. Guru juga boleh mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya murid berasa seronok ketika berada di dalam bilik darjah tanpa sebarang tekanan ketika belajar. Oleh itu, guru perlu memastikan murid berasa selesa dengan persekitaran yang disediakan.

Guru hendaklah memberi peluang kepada murid untuk memilih tugasan dan aktiviti pembelajaran yang mereka mahukan sesuai dengan minat murid. Dengan adanya minat dan perasaan ingin tahu tentang sesuatu perkara, murid-murid akan lebih mudah memahami sesuatu pelajaran Contohnya, murid yang minat melukis akan memberikan tumpuan sepenuhnya apabila guru Pendidikan Seni mengajar di dalam kelas. Dengan ini, murid tersebut mudah menerima dan memahami apa yang telah disampaikan oleh gurunya.

TEORI PEMBELAJARAN ABRAHAM MASLOW
        
Latar Belakang 

Beliau yang lahir pada 1 April 1908 di Brooklyn, New York pernah menuntut di City College of New York (CCNY) dalam jurusan undang-undang. Kemudian, beliau bertukar ke University of Wisconsin dan lebih berminat dalam jurusan psikologi. Pada tahun 1931, beliau telah menerima M.A  dan Ijazah Kedoktoran pada tahun 1934 dalam bidang psikologi dari University of Wisconsin. Dari tahun 1951 hingga 1969, beliau telah menjadi ‘The Chair of the Psychology Department' di Brandeis. Beliau telah menulis buku yang bertajuk 'The Organism'  pada 1934.

 Teori Abraham Maslow

Abraham Harold Maslow menghasilkan peringkat keperluan manusia supaya mereka dapat mencapai potensi diri masing-masing. Terdapat dua peringkat iaitu  kekurangan keperluan (deficiency needs) dan keperluan perkembangan (growth needs). Pada peringkat  kekurangan keperluan, terdapat keperluan fisiologi, keselamatan, kasih sayang dan penghargaan yang perlu dipenuhi peringkat demi peringkat supaya kita akan  terus bermotivasi ke arah pencapaian yang lebih tinggi iaitu keperluan perkembangan yang terdiri daripada pencapaian intelek, estetika dan penyempurnaan kendiri. Sekiranya kita  berusaha mengembangkan lagi minat dan kecenderungan dalam akademik atau seni estetika, kita akan mencapai potensi yang menyeluruh iaitu penyempurnaan kendiri.
 
Teori Keperluan Abraham Maslow 

Berdasarkan Atan Long (1976 : 131), Maslow (1954) telah menjelaskan bahawa keperluan-keperluan manusia itu berperingkat-peringkat. Keperluan peringkat yang paling rendah perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum memenuhi peringkat keperluan yang paling tinggi. Ini bermakna kita perlu melalui setiap peringkat. Peringkat yang paling asas terdiri daripada keperluan fisiologi. Setelah keperluan ini dipenuhi barulah keperluan keselamatan, diikuti keperluan kasih-sayang, seterusnya peringkat penghargaan kendiri atau penghormatan diri, penyempurnaan diri, keperluan mengetahui dan peringkat tertinggi bagi keperluan manusia adalah peringkat keperluan bagi penyempurnaan kendiri.           

1)Keperluan Fisiologi
            Mengikut teori Maslow, peringkat ini merupakan keperluan yang paling asas yang sangat penting kepada  kehidupan sesuatu organisme termasuklah manusia. Keperluan asas ini terdiri daripada perkara yang diperlukan oleh semua orang seperti keperluan mendapatkan makanan, minuman dan tempat tinggal. Dalam konteks pendidikan, murid tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pelajaran mereka sekiranya kurang mendapat makanan sehingga boleh menjejaskan kesihatan mereka. Keperluan seks juga termasuk dalam keperluan asas manusia. Keperluan ini diperlukan apabila seseorang itu mencapai peringkat baligh dan perlu berkahwin untuk memenuhinya.

2)  Keperluan Keselamatan
Keperluan ini biasanya sangat diperlukan oleh seseorang yang kecil daripada orang dewasa. Kanak-kanak kecil yang tidak dapat hidup dengan sendirinya dan memaksa ia bergantung kepada orang dewasa terutama ibu bapa untuk mendapatkan perlindungan. Contohnya, seorang kanak-kanak amat memerlukan jagaan ibu bapa ketika jatuh sakit. Hasil penyelidikan yang dibuat oleh Harlow dan Zimmerman (1958) berdasarkan kajiannya turut menunjukkan betapa pentingnya perdampingan dan sentuhan orang dewasa kepada seseorang kanak-kanak.

Ketika di dalam kelas pula, keselamatan yang diperlukan oleh murid daripada seorang guru adalah dalam bentuk disiplin. Guru diperlukan untuk mengajar murid mendisiplinkan diri kerana mereka tidak boleh mendisiplinkan diri mereka sendiri.  Murid juga akan berasa selamat sekiranya guru bersikap toleransi terhadap mereka dan membolehkan mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap proses pembelajaran.

3) Keperluan Kasih Sayang.
Keperluan ini diperlukan untuk mendapatkan hubungan yang mesra, kasih-sayang, dan perasaan diri. Kebiasaan yang berlaku di dalam kelas, sering terjadi perkelahian atau perbalahan antara satu sama lain sehingga menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian terhadap proses pembelajaran kerana emosi mereka tidak berada dalam keadaan stabil. Murid-murid juga akan merasakan diri mereka seolah-olah tidak disukai, dihargai atau tidak dipedulikan oleh guru sekiranya mereka dimarahi oleh guru mahupun kawan-kawan. Kesannya keinginan, minat, kehendak atau motivasi mereka untuk belajar akan menurun.

4)Keperluan Penghargaan Kendiri          
            Satu unsur besar dalam pembinaan konsep kendiri adalah penerimaan. Penerimaan bermaksud menghargai sifat-sifat istimewa individu sebagai manusia unik yang berbeza dengan individu lain dari segi sikap, pengetahuan dan kemahiran. Ianya juga bererti memberi peluang kepada individu belajar menerima diri mereka sendiri. Penerimaan oleh keluarga, guru dan rakan sebaya amatlah penting.

Bagi kanak-kanak, penerimaan rakan sebaya penting supaya mereka tidak merasa terpinggir.  Murid yang diterima oleh rakan sebaya sering memperoleh prestasi akademik yang tinggi berbanding individu yang tidak diterima rakan sebaya kerana mereka dapat berbincang tentang masalah pembelajaran dalam kumpulan. Berdasarkan Saedah, Zainun dan Tunku Mohani (1996:13) mengungkap kata-kata Kubiniec, 1970, ‘Orang yang mempunyai konsep diri yang kuat lebih berkemungkinan mencapai kejayaan akademik’.

5) Keperluan Penyempurnaan Kendiri
Berdasarkan (Shaffer,1985), konsep kendiri adalah pengertian atau kefahaman seseorang terhadap dirinya sebagai individu yang asing yang memiliki satu ciri-ciri yang unik atau istimewa. Ianya juga membawa maksud bagaimana seseorang individu itu berpendapat dan menganggap tentang dirinya sendiri. Penyempurnaan kendiri pula bermaksud apa yang seseorang ingin jadi, ianya mesti jadi berasaskan kepekaan dan kesedaran tentang kekuatan dan kelemahannya. Kesedaran itu pula diperoleh daripada maklum balas, gerak balas atau reaksi individu lain sepanjang pergaulan, sosialisasi atau interaksi dengan  individu lain.

6)Keperluan Mengetahui
            Keperluan ini berkaitan dengan perasaan ingin tahu sesuatu perkara. Individu tersebut perlu mencari, menyusun serta menganalisis sesuatu maklumat. Dalam konteks sekolah, kaedah inkuiri penemuan dan kajian perlu diajar oleh guru supaya semua pelajar dapat melibatkan diri dalam proses mencari maklumat dan pemikiran reflektif.

7)Keperluan Estetik
            Keperluan estetik adalah merujuk kepada keperluan manusia untuk memiliki dan memahami keindahan dan kecantikan dalam dirinya. Perasaan ini boleh diperoleh dengan cara memiliki barangan yang cantik dan mempunyai unsur-unsur kesenian dalam dirinya. Kesannya, manusia sanggup membelanjakan beratus malahan beribu ringgit untuk  memiliki barangan yang indah. Di sekolah pula, guru perlu menggalakkan murid supaya lebih melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dapat mengembangkan otak kanan mereka seperti dalam bidang drama, muzik dan sebagainya. 

Implikasi Teori Pembelajaran Abraham Maslow Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran 

Guru perlu memastikan keperluan fisiologi murid telah dipenuhi terlebih dahulu. Keperluan ini dapat disediakan dengan adanya masa rehat supaya murid dapat makan juga berehat untuk seketika dan menyediakan bilik darjah yang mempunyai pengudaraan yang baik. Memenuhi keperluan fisiologi dapat membantu murid berasa selesa dan bersemangat untuk belajar.

Guru hendaklah sentiasa memberi peneguhan positif seperti pujian, senyuman atau hadiah kepada muridnya apabila mereka menunjukkan tingkahlaku positif. Murid akan terasa disayangi dan dihargai. Dengan ini aras motivasi dalam diri mereka dapat dipertingkatkan seterusnya dapat meningkatkan prestasi murid-murid dalam pelajaran.

            Guru perlu memikirkan strategi pengajaran dan pembelajaran yang dapat menarik minat muridnya untuk belajar. Guru perlu memastikan setiap murid berasa seronok dan aktif dengan aktiviti yang dirancangkannya. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti membawa murid ke perpustakaan atau makmal komputer untuk mencari maklumat tentang topik-topik yang berkaitan dengan pelajaran yang dipelajari ataupun mengadakan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang bersejarah atau tempat yang sesuai dengan pelajaran.

Selain itu, guru perlu menyediakan bilik darjah yang kondusif dan selamat  seperti susunan meja dan kerusi yang teratur,  saiz meja dan kerusi yang sesuai dengan saiz murid, peraturan bilik darjah yang sesuai dan ruang bilik darjah yang mencukupi. Dengan ini, murid dapat melibatkan diri dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran dijalankan. Persekitaran ini mampu merangsang minat dan semangat murid untuk terus belajar. Murid-murid juga mudah bergerak dalam bilik darjah semasa aktiviti-aktiviti dijalankan di dalam bilik darjah.

Guru juga  perlu memberi tunjuk ajar kepada mereka dengan menasihati mereka supaya sentiasa menjalinkan hubungan yang baik sesama mereka tanpa sebarang pergaduhan atau persengketaan. Cara ini dapat membantu murid merasakan bahawa mereka diterima, dihormati serta dihargai oleh anggota lain dalam komuniti yang kecil.  Kesannya, proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan baik, harmonis dan berkesan.

Tugasan yang sesuai dengan keupayaan murid perlu diberikan supaya mereka  mampu membuatnya. Perkara ini akan menyebabkan mereka merasakan diri mereka penting apabila mereka berjaya melaksanakan sesuatu tugasan dengan sebaiknya. Murid akan menjadi lebih berkeyakinan seterusnya keinginan dan minat mereka untuk terus belajar dan berjaya akan meningkat. Guru bertanggungjawab dalam memastikan tidak ada muridnya yang gagal atau tercicir untuk mengelakkan mereka daripada berasa rendah diri, kecewa dan tidak dihargai sehingga enggan belajar.
 
 TEORI PSIKOSOSIAL ERIKSON

Latar belakang

Eric H.Erickson telah dilahirkan di Frankfurt, German pada 15 Jun 1902. Ketika  zaman remaja, beliau pernah mengalami krisis identiti. Kemudian, beliau bekerja sebagai Penganalisis Kanak-kanak  di Institut Vienna Psychoanalytic  selama kurang lebih 6 tahun. Beberapa lama kemudian, beliau telah mengajar di Universiti Harvard dan Universiti Yala. Pada tahun 1950, beliau telah menulis sebuah buku bertajuk ‘Childhood and Society’. Beliau meninggal di Harwich, Amerika Syarikat pada 12 Mei 1994 ketika berusia 91 tahun.

Teori Perkembangan Psikososial Erikson

Terdapat 8 tahap teori perkembangan Psikososial Erikson yang mempunyai krisis dan perlu diatasi pada setiap peringkat umur tersebut.

1) Psikososial tahap 1- percaya lawan tidak percaya

Tahap pertama teori ini adalah di antara waktu kelahiran sehingga berusia 1 tahun yang merupakan tahap pertama di dalam kehidupan. Bayi akan percaya kepada orang lain atau ibu bapanya berasaskan kepada kepercayaan dan kualiti penjaga kepada bayi tersebut. Apabila seorang bayi dapat mempercayai orang lain atau ibu bapanya, dia akan berasa selamat dan dilindungi. 

Namun begitu, penjagaan yang tidak stabil, emosi terganggu dan rasa terasing akan menyebabkan bayi yang dijaga mempunyai perasaan tidak percaya pada persekitarannya sehingga  melahirkan perasaan takut dan yakin bahwa dunia ini tidak tenteram dan tidak boleh dipercayai.

2) Psikososial tahap 2 – autonomi lawan rasa malu dan sangsi (1-3 tahun)

Tahap ini berlaku pada usia 1 hingga 3 tahun. Ianya berkaitan dengan pembentukan perasaan keyakinan diri pada kanak-kanak tersebut.  Latihan ke tandas dipercayai merupakan bahagian penting dalam proses ini kerana beliau percaya bahawa pembelajaran untuk mengawal fungsi tubuh seseorang akan membawa kepada tindak balas terkawal dan kemahuan untuk berdikari. Ibu bapa perlu memberi lebih banyak peluang kepada kanak-kanak untuk membuat pilihan makanan, permainan dan pakaian.  Kanak-kanak yang berjaya melengkapkan tahap ini akan rasa selamat dan yakin.  Manakala mereka yang gagal akan mempunyai perasaan malu dan rasa sangsi.

3) Psikososial tahap 3 – inisiatif lawan rasa bersalah (3-6 tahun)

Kanak-kanak pada tahap mula menghadapi cabaran kerana sudah mula berinteraksi dan terdedah kepada persekitaran. Mereka cuba mengambil banyak inisiatif untuk melakukan sesuatu yang baru bagi memenuhi naluri ingin tahu mereka. Jika ibu bapa mengkritik atau menggunakan dendaan atau kekerasan terhadap tingkah laku mereka, ini akan menyebabkan kanak-kanak tadi mempunyai perasaan bersalah pada diri dan tidak berinsiatif atau takut untuk melakukan sesuatu aktiviti.

4) Psikososial tahap 4 – industri lawan rasa rendah diri (6-12 tahun)

Pada tahap ini kanak-kanak mula memasuki alam persekolahan dan perlu  menguasai kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira. Pemikiran mereka mula mencapai tahap operasi konkrit dan mula berfikiran logik. Mereka melakukan sesuatu dengan penuh minat, yakin dan tekun. Mereka perlu mendapat  bimbingan dan galakan daripda ibu bapa, guru dan rakan sebaya supaya dapat membina  keupayaan, keyakinan dan kebolehan kanak-kanak tersebut. Kanak – kanak akan berasa rendah diri dan kurang yakin pada kebolehan diri sendiri sekiranya sering dimarahi dan dikritik dalam segala tugasan yang diberi.

5 ) Psikososial tahap 5 – identiti lawan kekeliruan (12-20 tahun)

Tahap ini melibatkan remaja awal atau remaja akhir. Mereka akan berusaha mencari identiti dan persepsi terhadap dunia mereka sendiri. Remaja yang mempunyai identitinya akan mencipta rancangan masa depan yang memuaskan dan rasa terselamat. Sebaliknya, remaja yang gagal akan memperkembangkan rasa kekeliruan peranan, hidup yang tidak bermatlamat, rasa tersisih dan sukar membuat keputusan.

6) Psikososial tahap 6- kemesraan atau pengasingan diri (20-40 tahun)

Pada tahap ini, individu akan mula mencari kenalan atau cinta untuk  membentuk corak perhubungan.  Pada peringkat ini, seseorang dewasa akan mendirikan rumah tangga. Dengan kata lain,membolehkan orang dewasa berkongsi hidup bersama serta mencapai kemesraan atau kerapatan. Sebaliknya, orang yang masih bujang atau belum berkahwin akan menjadi putus asa atau hidup dalam kesunyian.

7) Psikososial tahap 7 – generativiti lawan pemusatan (40-65 tahun)

Generativiti merupakan usaha seseorang untuk memberi sumbangan atau perkhidmatan kepada generasi akan datang. Seseorang dewasa juga akan mula memikirkan perkara yang berkaitan dengan keluarganya dan mengambil berat tentang orang lain. Individu tersebut berpuas hati jika dapat membantu anak-anaknya menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab serta berguna kepada masyarakat dan negara. Sebaliknya, individu yang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak pernah memberi apa-apa bantuan kepada orang lain akan berasa kecewa dan kurang berpuas hati dengan hidupnya.


8) Psikososial tahap 8 – kesepaduan lawan putus asa (65 tahun ke atas)
  
Pada peringkat ini, seseorang dewasa akan melakukan refleksi kendiri dengan mengingat kembali kejayaan dan kegagalan yang dialaminya pada peringkat awal. Jika seseorang berpuas hati dengan pencapaiannya pada peringkat awal, dia akan mencapai rasa kesepaduan. Jika sebaliknya, dia akan merasakan kecewa dan hidup dalam berputus asa.

Implikasi Teori Pembelajaran Erikson Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran

        Guru perlulah mempunyai asas bimbingan kaunseling untuk berhadapan dengan murid kerana murid terdiri daripada individu yang berbeza-beza. Teknik nasihat yang diberikan juga perlulah berbeza-beza bagi memenuhi keperluan semua murid yang berada di dalam peringkat perkembangan yang pelbagai. Murid hanya mempercayai guru yang dirasakan memahami dan melayaninya dengan baik. Guru sebegitulah yang mampu menyelesaikan masalah pembelajaran murid.

      Guru perlulah bersikap penyayang, bertolak ansur dan bersabar dengan murid-murid supaya dapat memahami perasaan dan emosi mereka. Sikap suka mengarah dan berleter perlu dielakkan kerana boleh menyebabkan murid berasa bosan. Sebaliknya guru perlu membimbing dan menunjukkan simpati kepada murid kerana sikap orang dewasa boleh mempengaruhi perkembangan personaliti mereka. 

            Guru juga boleh memberi peneguhan positif dan negatif kepada murid di dalam bilik darjah. Guru boleh memberi kata pujian, hadiah, sentuhan atau senyuman kepada murid yang menunjukkan tingkah laku yang positif. Sebaliknya, guru boleh menggunakan peneguhan negatif seperti denda dan teguran sekiranya mereka menunjukkan tingkah laku yang negatif.

Guru juga boleh mempelbagaikan kaedah mengajar ketika proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan untuk menarik minat murid-murid. Contohnya, melaksanakan kaedah kumpulan, koperatif, inkuiri, perbincangan dan sebagainya. Tambahan pula, setiap murid yang berbeza mempunyai kegemaran yang berbeza-beza terhadap kaedah mengajar guru.


DEFINISI KONSTRUKTIVISME MENGIKUT PANDANGAN TOKOH 

Menurut Briner (1999) dalam laman sesawang www.scribd.com, pembelajaran secara konstruktivisme berlaku di mana pelajar membina pengetahuan dengan menguji idea dan pendekatan berasaskan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasikannya pada satu situasi baru dan mengintegerasikan pengetahuan baru yang diperoleh dengan binaan intelektual yang sedia wujud.

      Manakala menurut Mc Brien dan Brandt (1997), konstruktivisme merupakan satu pendekatan pembelajaran berasaskan kepada penelitian tentang bagaimana manusia belajar. Kebanyakan peneliti berpendapat setiap individu membina pengetahuannya sendiri dan bukannya hanya menerima pengetahuan daripada orang lain.

            Brooks dan Books (1993) pula menyatakan konstruktivisme berlaku apabila pelajar membina makna tentang dunia dengan mensintesis pengalaman baru pada apa yang mereka telah faham sebelum ini. Sushkin (1999) pula menyatakan penekanan diberikan pada pelajar lebih daripada guru kerana pelajar yang bertindak balas dengan bahan dan peristiwa dan memperoleh kefahaman tentang bahan dan peristiwa tersebut. Oleh itu, pelajar perlu membina sendiri konsep dan membuat penyelesaian kepada masalah dengan mencari sendiri jalan penyelesaiannya yang sesuai.
           

TEORI KONSTRUKTIVISME SOSIAL LEV VYGOTSKY

Latar Belakang

 Lev Semyonovich Vygotsky dilahirkan di sekitar bandar Tsarist, Russia, pada 17 November 1896. Beliau berketurunan Yahudi. Ketika berusia 28 tahun, beliau mula tertarik dengan bidang psikologi. Sebelum itu, beliau banyak mendalami dunia sastera. Pada mulanya, beliau mengajar sastera di sebuah sekolah, tetapi pihak sekolah telah memintanya untuk mengajar psikologi walaupun beliau tidak pernah mengkaji bidang psikologi. Bermula dari situlah, beliau mula  tertarik untuk meneliti bidang psikologi, hingga akhirnya beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi di Moscow Institute of Psychology pada tahun 1925 dan menulis jurnal Ijazah Kedoktoran berjudul Psychology of Art.

Disebabkan beliau hidup pada masa revolusi Rusia, idea–idea beliau dalam dunia psikologi sering menghadapi tentangan dari pemerintah Rusia ketika itu kerana sentimen anti-semitik yang kuat di Rusia. Selepas beliau meninggal dunia, barulah ideanya berkembang dengan meluas. Pada tahun 1934, Vygotsky meninggal dalam usia yang cukup muda, iaitu ketika berusia 37 tahun kerana menderita penyakit TBC.

Teori Vygotsky

Menurut beliau, dengan adanya bantuan dan bimbingan verbal dari orang lain, perkembangan konsep kanak-kanak dapat berkembang secara logikal dan rasional. Dalam konteks sosial, individu dapat berkongsi dan membina pengetahuan baru dengan orang lain. Murid juga dapat menilai dan meningkatkan pengetahuan diri sekiranya mereka bergaul dan berbincang dengan orang lain kerana mereka akan mendengar pandangan dan pemikiran orang lain serta berkongsi membina pemahaman (Gauvain, 2001). Beliau juga berpendapat bahawa pembelajaran dapat dilaksanakan dengan bermain, penyampaian secara formal atau kerjasama antara murid dengan murid yang lebih berpengalaman.

Zon Perkembangan Terdekat     

Zon ini menerangkan tentang bagaimana kanak-kanak yang sukar menguasai kemahiran boleh berjaya dengan bimbingan orang dewasa atau rakan sebaya yang lebih mahir.  Menurut beliau, murid mudah menguasai isi pelajaran sekiranya mereka mempunyai pengetahuan sedia ada. Zon perkembangan terdekat merujuk kepada tugasan pembelajaran yang sukar dilakukan sendiri oleh murid. Tetapi dengan bimbingan orang lain yang lebih mahir, murid dapat menguasainya. Ini bermakna tugasan tersebut berada dalam Zon Perkembangan Terdekat. Isi pelajaran dikatakan berada di bawah zon bawah sekiranya mereka dapat melakukannya sendiri.

Isi pelajaran yang berada di luar zon aras bawah menunjukkan pembelajaran tidak berlaku kerana murid tidak dapat menguasai isi pelajaran walaupun mendapat bimbingan orang lain. Contohnya, murid tidak akan dapat belajar operasi darab sekiranya mereka belum menguasai operasi tambah yang menjadi pengetahuan sedia ada murid.

                                                     Rajah : Zon Perkembangan Terdekat ZPD


Proses membimbing dan membantu pembelajaran iaitu teknik Scaffolding dilaksanakan untuk membantu murid menguasai isi pelajaran yang berada dalam Zon Perkembangan Terdekat. Dalam teknik ini, perbualan atau interaksi antara guru dan murid diutamakan. Guru boleh menggalakkan murid bertanya dan memberi jawapan yang munasabah bagi soalan yang berkaitan punca dan cara. Murid juga diminta membuat jangkaan terhadap sesuatu yang akan berlaku apabila aktiviti ujikaji dijalankan. Guru juga boleh menggunakan model sebenar untuk membantu murid membuat rumusan.  Apabila murid telah dapat menguasainya secara berperingkat, bimbingan akan dikurangkan. Akhirnya setelah murid berjaya melakukannya sendiri, bimbingan tidak akan diberikan lagi.

Implikasi Teori Pembelajaran Konstruktivisme Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran

Guru hendaklah mengaitkan isi pelajaran yang ingin diajar dengan situasi sebenar. Murid akan mudah mendapat gambaran tentang isi pelajaran yang diajar oleh guru. Contohnya, menggunakan teknik simulasi sebagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid boleh menjalankan aktiviti lakonan yang menunjukkan situasi sebenar dan menunjukkan cara penyelesaian sesuatu masalah ditimbulkan.

Guru juga boleh menggalakkan murid yang sudah mahir membantu rakan mereka yang lain. Mereka boleh berkongsi pendapat atau memberi tunjuk ajar kepada rakan mereka bagi meningkatkan kefahaman tentang sesuatu topik. Kanak-kanak  sebenarnya adalah lebih mudah memahami sesuatu perkara itu apabila dibimbing oleh rakan sebaya mereka kerana berasa lebih selesa. Contohnya, guru boleh menggunakan kaedah koperatif di mana murid dalam kumpulan saling berkongsi dan bantu - membantu antara satu sama lain semasa tugasan diberikan.

Guru perlu memfokuskan penilaian untuk menentukan Zon Perkembangan Proksimal setiap murid. Ianya dilakukan dengan memberi latihan yang berbeza kesukaran supaya guru dapat menentukan tahap bimbingan yang akan diberi. Contohnya, guru menggunakan pelbagai jenis aras soalan iaitu aras senang, mudah dan susah untuk mengetahui tahap keupayaan murid.

Guru haruslah menyediakan lebih banyak bahan bantu mengajar yang boleh digunakan supaya murid dapat menghubungkaitkan bahan tersebut dengan isi pelajaran yang dipelajari. Dengan ini, murid-murid tersebut dapat membina pemahaman baharu yang belum lagi diketahui atau dikuasai oleh mereka dan dapat meningkatkan pengetahuan mereka.


KESIMPULAN 

Melalui tajuk ini, guru-guru dapat mengenali tokoh-tokoh pembelajaran dan faedah - faedah penggunaan setiap teori pembelajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Teori pembelajaran sangat penting kepada guru kerana ia dapat membantu guru memilih strategi pengajaran dan pembelajaran serta membantu murid secara optimum. Kesemua teori pembelajaran dapat digunakan atau dimanfaatkan pada semua peringkat pembelajaran.  

Teori - teori tersebut juga dapat membantu guru memahami diri sendiri dan anak murid supaya mereka dapat melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang sepatutnya. Guru mesti bercakap di hadapan dengan suara yang jelas dan lantang, menjalin hubungan yang mesra dengan murid dan mengawal bilik darjah. Pada keseluruhannya, kesemua teori tersebut dapat membantu guru mengajar dengan lebih berkesan.



RUJUKAN


1. Faizul Idham. (2011). Teori Pembelajaran Sosial Albert Bandura. Dicapai pada 30
              Ogos 2012, daripada
http://kaunselingelie.blogspot.com/2011/02/teori-
              pembelajaran-sosial- albert.html  
     
2. Siti Bakhis. (2011). Tahap-tahap Perkembangan Psikososial Erikson.  Dicapai pada
            27 Ogos 2012, daripada http://anakilhamku.blogspot.com/2011/01/tahap-tahap-
            perkembangan-psikososial.html

3. Teori Pembelajaran Bruner (t.t & t.p). Dicapai pada 26 Ogos 2012, daripada
           http://azman.ipgmksm.edu.my/sce3102/topik4.pdf

4. Noriati A, Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhiriah Syed Ahmad. (2008). Murid
             dan Alam Belajar.
Selangor. Oxford Fajar. (m.s:63-91).

5. Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan & Abdul Aziz Abdul Shukor. (2008). Psikologi
            Pendidikan.
Selangor. Oxford Fajar.       

6. Lee S. M. (1997). Psikologi Pendidikan:Teori dan Aplikasi Psikologi dalam
            Pengajaran dan Pembelajaran.
Selangor. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.



DISEDIAKAN OLEH YUZINANI BT MOHD YUSOFF




2 comments: