Thursday 30 August 2012

FAKTOR INGATAN, LUPAAN DAN PEMINDAHAN PEMBELAJARAN


1. 0       Pengenalan
Manusia dicipta dengan pelbagai keupayaan. Manusia harus berusaha membangunkan keupayaan tersebut supaya dimanfaatkan kepada diri sendiri dan masyarakat yang mana ia bersesuaian dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud ‘Allah tidak akan merubah sesuatu kaum itu melainkan mereka sendiri yang merubahnya’. Keperluan manusia boleh disusun mengikut hierarki keperluan yang tertentu.

Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi proses pembelajaran. Kadangkala murid-murid menghadapi masalah kebuntuan dalam proses pembelajaran, ini mungkin disebabkan mereka menghadapi pelbagai jenis masalah pembelajaran. Salah satu faktor ini ialah tahap intelektual murid. Di mana sesetengah murid dapat menguasai sesuatu bahan pembelajaran baru dengan mudah, manakala sesetengah yang lain menghadapi kesukaran dalam menguasai bahan pembelajaran yang sama. Situasi ini mungkin disebabkan oleh tahap kesediaan murid-murid yang berbeza. Jika sekiranya murid-murid tidak  bersedia untuk sesuatu jenis pembelajaran dan apabila didesak untuk menerima maklumat tersebut, mereka mungkin menghadapi masalah dalam menguasai konsep-konsep yang hendak disampaikan oleh guru. Selain daripada itu, faktor-faktor persekitaran yang kondusif, personaliti guru-guru serta sikap para murid juga mempengaruhi proses pembelajaran. Faktor yang mempengaruhi pembelajaran yang akan dijelaskan di sini ialah ingatan dan lupaan serta pemindahan pembelajaran.

2.0       Ingatan
Ingatan merupakan proses mental yang menyimpan perkara-perkara yang telah dipelajari dan kemudian mengeluarkannya kembali sebagai tindak balas dalam situasi yang diperlukan, seperti menyelesaikan masalah atau aktiviti pengajaran dan pembelajaran selanjutnya. Menurut Fein (1978), beliau mentafsirkan ingatan sebagai pemprosesan maklumat yang diterima dalam otaknya, menyimpan dan mengeluarkannya. Selain itu, Verno (1980) berpendapat ingatan merupakan bentuk menyimpan maklumat-maklumat yang bermakna untuk menjadi pengalaman pada masa hadapan. Kesimpulannya, ingatan merupakan proses kebolehan manusia untuk menerima maklumat, memproses dan menyimpannya dalam otak, kemudian mengeluarkannya ketika diperlukan.

2.1       Proses Ingatan
Menurut Teori Gagne, ransangan-ransangan dari persekitaran luar diterima dalam sistem saraf melalui deria-deria manusia. Maklumat ini akan ditafsirkan dalam stor ingatan jangka pendek, kemudian dihantar ke stor ingatan jangka panjang dan seterusnya ke penggerak tindak balas melalui sistem saraf. Di dalam stor ingatan jangka pendek, maklumat yang diterima akan dikodkan secara bermakna dalam rangka yang lebih mudah diingati, iaitu dalam bentuk gambar mental atau simbol bahasa ringkas berdasarkan jenis maklumat yang diterima. Maklumat yang dikodkan akan disimpan dalam masa 15-30 saat sahaja dan kemudian dihantar ke stor ingatan jangka panjang untuk disimpan dalam beberapa minit atau selama-lamanya. Menurut Gagne, maklumat- maklumat yang disimpan dalam stor ingatan jangka panjang adalah penting bagi manusia untuk mengaitkannya dengan pengalaman-pengalaman baru, demi memudahkan proses pembelajaran baru berlaku.

Manakala  Atkinson dan Shiffrin (1971), mengklasifikasikan ingatan kepada tiga komponen utama, iaitu stor ingatan sensori, ingatan jangka pendek, dan ingatan jangka panjang. Mengikut mereka, ingatan sensori boleh menerima kuantiti maklumat yang banyak, tetapi hanya dapat disimpan dalam masa yang singkat. Sebahagian kecil maklumat yang diamati akan disalurkan kepada ingatan jangka pendek, yang dapat menyimpan maklumat secara automatik tanpa latihan mengingat dalam tempoh 20-30 saat sahaja. Untuk menyimpan maklumat ini, ingatan jangka pendek hendaklah dilatih berulang-ulang untuk mengingat, enkod dan memindahkannya kepada ingatan jangka panjang, yang mana dapat disimpan dalam tempoh yang lebih lama, kadang-kadang beberapa tahun atau sepanjang hayatnya bergantung kepada jenis atau nilai maklumat terhadap individu berkenaan.

2.2       Jenis-jenis ingatan
Ingatan boleh digolongkan kepada tiga jenis kategori, iaitu ingatan sensori, ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang. Pertama, ingatan sensori, di mana dikenali sebagai ingatan deria kerana ia berfungsi sebagai rakaman deria. Masa proses ingatan sensori ini adalah sangat singkat, biasanya berlaku beberapa saat sahaja. Ini adalah kerana ransangan yang diterima sampai ke bahagian organ deria tidak akan kekal lama, tetapi dihantar terus ke stor ingatan jangka pendek dengan serta merta. Sekiranya maklumat yang diterima dianggap kurang penting, contohnya benda-benda yang dilihat sepintas sahaja semasa dalam perjalanan, rakaman derianya bersama dengan ingatan jangka pendek akan hilang imejnya, dalam masa beberapa saat sebagai lupaan.

Jenis ingatan yang kedua ialah ingatan jangka pendek. Ingatan ini berfungsi menerima maklumat dari ingatan sensori untuk diproses untuk sementara waktu sahaja, iaitu dalam 15-30 saat sahaja. Ia menggunakan tempoh yang singkat ini untuk memerhati maklumat yang berguna, mengekodkannya dalam satu sistem yang mudah diingat, kemudian menghantarnya ke stor ingatan jangka panjang. Maklumat yang tidak diberi perhatian, biasanya dianggap kurang penting ataupun kurang berguna akan lenyap dalam proses lupaan. Contohnya, dalam segala aktiviti penyampaian isi pelajaran guru yang diterima oleh ingatan sensori pelajar, bukan semuanya akan diberi perhatian dalam ingatan jangka pendek, dan maklumat ini tidak akan diproses tetapi lenyap dalam proses lupaan. Kadangkala, maklumat tidak belum sempat dihantar ke ingatan jangka panajng, tetapi dipanggil semula dengan serta-merta, misalnya menjawab soalan guru sebaik sahaja selepas pengajarannya.

Jenis ingatan yang ketiga ialah ingatan jangka panjang. Ini bermakna ia berfungsi menerima dan proses maklumat yang telah diekodkan secara kasar dari ingatan jangka pendek untuk disimpan dalam masa yang lebih lama, mungkin di antara beberapa minit hingga bertahun-tahun. Maka maklumat yang diterima akan diproses semula dan dipindahkan kepada satu sistem yang lebih mudah, lebih sistematik dan lebih sempurna, seperti dalam sistem fail yang dibahagikan mengikut jenis dan kategori supaya mudah disimpan dan mudah dikeluarkan.

Terdapat empat jenis ingatan jangka panjang iaitu ingatan sematik, ingatan episodik, ingatan prosedural dan ingatan perdana. Pertama, ingatan sematik ialah ingatan di mana maklumat berbentuk fakta yang dikuasai sepanjang hayat daripada interaksi manusia dengan persekitarannya. Ia merangkumi segala fakta dan pengalaman yang dialami oleh seseorang. Sebagai contoh, maklumat yang berkaitan dengan persekolahan, pekerjaan, pembacaan, penontonan filem dan dari pengalaman-pengalaman lain. Kedua, ingatan episodik di mana ia merujuk kepada semua maklumat yang telah diperolehi daripada pengalaman lampau seperti tarikh, tempat, tahun yang berkaitan dengan sesuatu peristiwa khas, sama ada yang manis atau pahit yang tidak dapat dilupakan oleh seseorang individu. Contohnya, penglibatan seseorang dalam kemalangan, hari jadi ke-21, hari konvokesyen seseorang dan sebagainya.

Manakala yang ketiga, ingatan prosedural. Ia melibatkan langkah-langkah dan prosedur-prosedur amalan seharian. Sebagai contoh, ia melibatkan langkah-langkah yang terlibat dalam membuat kuih, memandu kereta ke tempat kerja, mandi dan lain-lain. Ingatan ini boleh mengalami proses lupaan kalau ia tidak digunakan secara kerap. Keempat, ingatan perdana di mana ia melibatkan segala maklumat amalan seharian yang sudah menjadi sebati dan automatik untuk seseorang. Beberapa contoh ingatan perdana ialah nombor rumah, nombor telefon polis atau ambulan, nama ahli keluarga, nombor kad pengenalan dan kad ATM dan sebagainya. Satu masalah dalam proses ingatan ialah kegagalan dalam proses endkoding akan menghalang maklumat ini daripada memasuki ingatan jangka panjang. Kadang-kadang, maklumat dalam peringkat ini dilupai bila ia tidak sampai ke ingatan jangka panjang. 

2.3        Faktor-faktor yang mempengaruhi ingatan.
Faktor-faktor yang mempengaruhi ingatan boleh dikategorikan kepada tiga kategori utama, iaitu faktor bahan pembelajaran, faktor kaedah pembelajaran dan faktor peribadi. Kategori pertama ialah faktor bahan pembelajaran. Kategori ini  merangkumi empat aspek, iaitu panjang bahan, kesukaran bahan, kedudukan bahan dan bahan bermakna. Pertama, panjang bahan pembelajaran di mana menurut kajian H.Ebbinghaus, beliau mendapati pembelajaran suku kata yang tidak bermakna dan tidak melebihi 7 bilangannya, biasanya boleh mengingatnya selepas membaca sekali. Sekiranya ditambah sehingga 12 suku kata, maka diperlukan membaca 17 kali sebelum boleh mengingatnya, dan jika ditambah 16 suku kata lagi, ia memerlukan membacanya sebanyak 30 kali baru boleh mengingatnya.

Kedua, faktor kesukaran bahan pembelajaran, menurut Kruegar (1946), dalam kajiannya, mendapati bahan pembelajaran yang terlalu mudah, kemajuan dalam peringkat awal bergerak dengan sangat cepat, tetapi cepat berundur dalam masa yang singkat. Ini adalah kerana bahan pembelajaran yang kurang mencabar, minat pembelajaran tidak dapat ditimbulkan, oleh itu ingatannya tidak akan kekal lama. Bagi bahan pembelajaran yang terlalu sukar, tidak ada kemajuan langsung kerana kekurangan keupayaan untuk mempelajarinya. Bagi bahan pembelajaran yang mempunyai kesukaran yang berpatutan, ianya kesukarannya boleh diatasi dengan usaha yang bersungguh-sungguh, kemajuannya boleh dikekalkan secara terus-menerus.

Ketiga, kedudukan bahan pembelajaran  menurut Kingsley (1957), dalam kajian ingatan terhadap set-set suku kata dan perkataan tunggal yang disenaraikan mengikut susunan secara tertib, mendapati suku kata dan perkataan yang terletak di tempat awal dan tempat akhir adalah lebih mudah diingat daripada yang terletak di tempat pertengahan, khasnya bagi ingatan set suku kata yang tidak bermakna. Terdapat banyak contoh harian yang kita boleh huraikan fenomena ini. Contohnya, kita lebih mudah mengingati peristiwa yang berlaku dalam hari persekolahan pertama dan terakhir daripada peristiwa-peristiwa di antara mereka. Begitu juga, kita lebih mudah mengingat peristiwa yang berlaku dalam hari Tahun Baru dan hari akhir tahun daripada peristiwa-peristiwa berlaku di antara perayaan-perayaan yang lain sepanjang tahun.

Keempat ialah bahan pembelajaran yang bermakna. Menurut kajian Kingsley menunjukkan pembelajaran perkataan-perkataan yang bermakna adalah lebih mudah daripada set suku kata yang tidak bermakna. Dengan perkataan lain, pembelajaran bahan yang bermakna adalah lebih mudah diingati daripada pembelajaran bahan yang tidak bermakna.

Manakala kategori yang kedua ialah kaedah pembelajaran. Ia merupakan cara pembelajaran yang digunakan semasa pembelajaran yang mempengaruhi ingatan. Cara pembelajaran ini merangkumi dua aspek utama iaitu pertama, masa belajar secara bahagian adalah lebih berkesan daripada masa belajar secara sekali gus. Di dalam kajian Done dan Hilgard (1937), calon ujian dibahagikan kepada empat kumpulan seperti berikut; kumpulan A belajar satu minit, rehat satu minit; kumpulan B belajar dua minit, rehat tiga minit; kumpulan C belajar satu minit, rehat sebelas minit dan kumpulan D belajar tiga minit, rehat satu minit. Hasil kajian menunjukkan cara pembelajaran kumpulan C adalah terbaik, diikuti dengan kumpulan B, kumpulan A dan akhir sekali kumpulan D. Ini bermakna cara pembelajaran secara bahagian diikuti dengan masa rehat yang cukup adalah lebih mudah diingat kembali daripada cara pembelajaran yang menggunakan masa lebih daripada masa rehat.

Kedua, pembelajaran berlebihan (over-learning) pula merupakan faktor yang penting untuk pembelajaran yang berkesan. Di dalam tempoh latihan, sekiranya telah berjaya menguasai semua langkah pembelajaran, bolehlah dikatakan telah mencapai seratus peratus pembelajarannya. Contohnya, menghafaz sebuah puisi yang lengkap memerlukan lima kali membacanya, barulah disebut sebagai pencapaian seratus peratus pembelajaran. Sungguhpun telah berjaya mencapai seratus peratus pembelajaran, pembelajaran setakat ini adalah amat mudah dilupai. Justeru itu, untuk mengekalkan ingatan, selepas mencapai seratus peratus pembelajaran, perlu membacanya beberapa kali.

Kategori yang ketiga ialah faktor peribadi. Antara faktor peribadi seperti umur, jantina, kebolehan, motif, emosi, kesihatan, personaliti dan sebagainya, juga mempengaruhi ingatan selepas pembelajaran. Pertama, faktor umur iaitu ramai orang percaya bahawa peringkat pembelajaran yang terkuat ialah pada waktu kanak-kanak, khasnya kanak- berumur 8-9 tahun. Bagaimanapun, beberapa kajian telah menunjukkan peringkat pembelajaran yang terkuat sebenarnya ialah di antara umur 8-20 tahun. Di dalam kajian Thorndike (1928), calon-calon ujian dari umur 8 hingga 70 tahun adalah dipilih untuk mengkaji pembelajaran bahasa esperanto, iaitu satu bahasa internasional yang dicipta oleh Dr. Zamenlof pada tahun 1887. Hasil kajian beliau menunjukkan kemajuan terbaik ialah peringkat umur 8-20 tahun. Selepas 20 tahun, kemajuannya dilambatkan dan mencapai puncaknya dalam umur 25 tahun. Selepas umur 35 tahun, kebolehan belajar mula menurun, dan apabila sampai umur 42 tahun, ia telah diturun sebanyak 22 peratus daripada peringkat kemuncaknya.

Kedua, faktor jantina iaitu kebolehan pembelajaran dan daya ingatan di antara lelaki dan perempuan tidak banyak perbezaan. Keupayaan kemahiran teknik, seperti bermain alat muzik, menjahit, menulis, melukis dan sebagainya, di antara lelaki dan perempuan adalah hampir sama. Di dalam pembelajaran bahasa, kebolehan perempuan dan lelaki tidak banyak bezanya.

Ketiga, perkaitan motivasi dengan pembelajaran iaitu ramai ahli psikologi percaya motivasi berkait rapat dengan pembelajaran. Di dalam sekolah, ganjaran lebih diutamakan sebagai motivasi untuk mendorong pembelajaran, kerana banyak kajian telah membuktikan pemberian ganjaran adalah lebih berkesan daripada mengenakan hukuman. Ini adalah kerana ganjaran menggalakkan tingkah laku yang diingini diteraskan, manakala hukuman menghalang tingkah laku yang diingini diteruskan, manakala hukuman menghalang tingkah laku diteruskan, malah ia tidak pula menunjukkan atau membawa tingkah laku ke arah yang positif. Oleh itu, kesan motivasi ganjaran merupakan positif, sedangkan kesan motivasi hukuman adalah negatif.

Terdapat sesetengah aktiviti pembelajaran yang sama perkaitannya dengan motivasi adalah diwujudkan secara semulajadi dan tanpa memerlukan sebarang ganjaran. Contohnya, kanak-kanak yang melibatkan diri dalam permainan bola atau alat muzik, tidak perlu menggunakan ganjaran atau hukuman untuk mengawal mereka. Ini adalah kerana mereka mendapat kepuasan daripada aktiviti  tersebut. Secara ringkasnya, sekiranya pelajar sendiri melibatkan diri dalam situasi pembelajaran, dan daripada aktiviti pembelajaran memperoleh kejayaan atau pencapaian yang memuaskan, maka motivasi untuk pembelajaran akan berlaku dan dikekalkan dalam ingatan.

Keempat, emosi di mana ia merupakan perasaan jiwa yang kuat, seperti sedih, gembira, takut dan lain-lain. Emosi yang mempengaruhi ingatan boleh digolongkan dalam dua jenis utama iaitu seronok (gembira) atau kurang seronok (sedih), dan cemas (risau) atau tenang. Kebiasaannya manusia lebih boleh ingat peristiwa atau pengalaman yang seronok dan mempunyai kecenderungan agar sengaja melupai peristiwa atau pengalaman yang sedih atau kurang seronok.

3.0       Lupaan
Proses lupaan adalah bertentangan dengan proses ingatan. Segala maklumat yang telah diterima dalam stor ingatan tetapi tidak dapat diingat atau dikeluarkan kembali sebagai tindak balas adalah dilenyapkan dalam proses lupaan. Menurut Erikson (1963), lupaan merupakan satu motif di mana maklumat yang tertentu sengaja dilupai kerana dianggap tidak penting, kurang seronok atau tidak berguna berdasarkan kesedaran mental seseorang. Maka lupaan ditafsir sebagai kelenyapan atau kehilangan dalam persepsi seseorang terhadap maklumat-maklumat yang telah dipelajari.

3.1       Jenis-jenis lupaan
Manusia sebagai insan dikurniakan untuk melupakan peristiwa-peristiwa pahit yang dilalui pada masa lampau. Lupaan juga ada kebaikannya. Jika penyimpanan kod melimpah-melimpah, ia boleh mengakibatkan kelumpuhan mental seseorang.  Terdapat tujuh jenis lupaan iaitu pertama, lupaan keusangan. Pertama, lupaan keusangan berlaku apabila maklumat yang disimpan dalam ingatan jangka panjang dilupai akibat jarang digunakan. Ini bermaksud kod-kod maklumat yang disimpan tidak aktif dan tidak dipanggil semula. Kedua, lupaan kegagalan di mana individu-individu gagal untuk memanggil semula maklumat yang spesifik. Setiap kali manusia mempelajari maklumat baru, otak akan mewujudkan satu tanda halus ingatan untuk maklumat tersebut. Jika maklumat ini tidak dilatih dan dipanggil balik, ia akan lama kelamaan hilang begitu sahaja.

Ketiga, lupaan penggantian di mana ia berlaku apabila maklumat baru menggantikan segala ingatan yang lama. Sebagai contoh, pembelajaran rumus matematik yang dapat dikira secara pendek akan menggantikan pembelajaran rumus matematik sama yang lebih panjang dan yang mengelirukan. Jenis lupaan yang keempat ialah lupaan gangguan. Lupaan gangguan ialah lupaan yang berlaku akibat gangguan yang berlaku akibat pembelajaran baru atau pembelajaran lama.

Terdapat dua jenis lupaan gangguan iaitu gangguan retroaktif dan proaktif. Gangguan retroaktif adalah gangguan yang berlaku akibat pembelajaran baru mengganggu pembelajaran lama. Justeru itu maklumat pembelajaran lama dilupakan. Ia berlaku apabila bahan pembelajaran yang lama tidak difahami dengan baik atau belum mencapai tahap pembelajaran yang berkesan. Oleh itu, pembelajaran yang baru akan mengganggu pembelajaran yang lama. manakala gangguan proaktif pula ialah pembelajaran lama yang kekal dan mantap dalam fikiran mengganggu pembelajaran baru. Ini bermakna seseorang itu mungkin enggan untuk menerima pembelajaran baru.

Kelima, jenis lupaan terdesak di mana ia berlaku akibat sesuatu pengalaman pahit atau sesuatu peristiwa yang menyakitkan. Oleh itu, individu akan sengaja menolaknya ke otak sebagai mekanisme helah bela diri. Jenis lupaan keenam iaitu lupaan kebimbangan dan ketakutan. Lupaan ini berlaku dalam keadaan yang tertekan seperti individu yang bimbang atau semasa murid-murid berada di dalam dewan peperiksaan. Lupaan ini berlaku apabila murid-murid tidak dapat mengingati nota-nota penting dan proses ini dikenali sebagai “mental block”. Keenam, lupakan ledakan maklumat. Maklumat yang terlalu banyak untuk dipelajari dan yang tidak mempunyai kaitan di antara satu sama lain juga boleh menyebabkan proses lupaan. Fikiran murid-murid buntu dan menyebabkan mereka panik dan melupai fakta-fakta yang penting. Jenis lupaan yang terakhir ialah kegagalan untuk menyimpan. Maklumat penting dilupakan apabila tidak sampai ke dalam ingatan jangka panjang. Kegagalan dalam proses enkoding menghalang maklumat daripada memasuki ingatan jangka panjang. 

3.2       Faktor-faktor lupaan
Pertama, faktor minat di mana, kebanyakan perkara yang tidak diminati oleh pelajar akan mudah dilupai oleh mereka kerana mereka tidak memberi penumpuan 100% semasa guru mengajar. Mereka juga kurang berminat untuk melihat perkaitan bahan yang telah dipelajari dan ini boleh menyebabkan mereka lupa dengan mudah. Faktor kedua, ialah perasaan takut dan bimbang. Pelajar yang berperasaan takut dan bimbang amat sukar utk mengingat kembali fakta yg diajar oleh guru. Guru yang garang dan tidak peramah juga akan menyebabkan keupayaan pelajar untuk berfikir dan mengingati pelajaran terjejas.

Faktor ketiga ialah peredaran masa. Makin lama jarak di antara masa sesuatu bahan yang dipelajari dan diingat kembali, semakin kabur maklumat yang disimpan dalam ingatan jangka panjang pelajar. Kesan ingatan (memory trace) beransur lemah, pengaburan berlaku dengan peredaran masa yang lama, maklumat tersebut akan hilang dari ingatan. Faktor keempat, keusangan di mana persekitaran yang berubah akan menyebabkan kesukaran mengingat kembali peristiwa atau pengalaman lama yang berkaitan dengan dirinya. Maklumat lama yang disimpan dalam ingatan jangka panjang akan usang dan tidak sesuai digunakan di dalam persekitaran yang baru. Contohnya, Ahmad mempunyai pengalaman manis tentang kampungnya. Namun, selepas dia balik 25 tahun kemudian, dia mendapati kampungnya sudah berubah dengan pesat. Maklumat lama dalam ingatan jangka panjangnya sudah tidak boleh digunakan lagi.

Faktor kelima, pengalaman yang pahit. Individu mengelakkan pengalaman yg pahit dengan menolak pengalaman pahit secara sengaja kepada bahagian otak tidak sedarnya kerana tidak mahu mengingatinya lagi. Maklumat ini tersimpan kekal dalam ingatan tetapi tidak timbul ke paras otak sedar manusia. Ini merupakan satu cara helah bela diri manusia untuk menyesuaikan diri kepada persekitarannya. Faktor keenam,  masa yang tidak cukup untuk mengingat. Jika guru meminta jawapan dengan segera, maka pelajar tidak dapat menjawab soalan dengan betul. Ini kerana pelajar berasa tertekan dan otak memerlukan masa yg cukup ingat kembali sesuatu fakta. Dan faktor yang ketujuh, iaitu aras keyakinan. Aras keyakinan yang tinggi memudahkan proses ingatan manakala aras keyakinan yang rendah memudahkan proses lupaan. Contohnya, guru yang berkeyakinan dalam menyampaikan isi pengajarannya akan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Faktor kelapan, kekurangan kejelasan kepada ingatan. Maklumat baru tidak dapat diintegrasikan ke dalam struktur kognitif dengan baik kerana penerangan guru kurang baik dan kefahaman pelajar adalah rendah. Maklumat baru ini tidak dapat dikaitkan dengan baik kepada pengetahuan sedia ada pelajar. Oleh itu, konsep-konsep yang diajar guru perlulah dikategorikan secara berkesan untuk menentukan kelicinan kepada ingatan. Faktor kesembilan, gangguan proaktif dan gangguan retroaktif. Gangguan proaktif berlaku apabila pembelajaran lama mengganggu pembelajaran baru. Gangguan retroaktif pula berlaku apabila pembelajaran lama masih tidak difahami dengan baik namun guru telah mengajar pembelajaran yang baru. Faktor yang terakhir ialah terlalu banyak maklumat yang perlu diingati. Pelajar akan menghadapi kesukaran untuk mengingat jika terlalu banyak maklumat yg perlu diingati. Ini biasa berlaku semasa musim peperiksaan apabila terlalu banyak fakta atau isi pembelajaran yang perlu diingati.Fikiran akan buntu dan tertekan dan akan menyebabkan lupaan.

3.3       Cara meningkatkan daya ingatan dan mengurangkan lupaan
Pertama, guru perlu menggunakan bahan pembelajaran yang bermakna dan berkaitan dengan kehidupan murid-murid. Kedua, guru meningkatkan isi pembelajaran dengan menggunakan pelbagai cara iaiti daripada senag kepada susah, maujud kepada abstrak, dekat kepada jauh dan kecil kepada besar. Ketiga, memeringkatkan kaedah pembelajaran melalui interaksi guru murid dua hala, pelajar bebas bertanya dan mengeluarkan pendapat serta merancang aktiviti pembelajaran menarik dan berkesan. Keempat, menyusun jadual waktu di mana subjek yang susah seperti matematik, kimia dan fizik di sebelah pagi, manakala  subjek seperti seni di sebelah tengah hari atau petang.

Kelima, menggunakan kaedah mnemonik dan singkatan. Ia digunakan bagi mengingat jenis memori dalam ingatan jangka panjang. Keenam, guru membimbing pelajar bagaimana cara belajar dengan betul atau Kemahiran Meta-kognitif iaitu dengan teknik membuat rumusan atau ringkasan nota, teknik pengurusan masa, membuat peta minda atau peta kosep dan sebagainya. Ketujuh, guru perlu menjarakkan isi pelajaran yang ingin disampaikan. Elakkan mengajar satu sesi pengajaran  dengan maklumat atau isi pelajaran yang terlalu padat. Kelapan, guru haruslah menggunakan bahan pengajaran yang bermakna. Di mana guru menekankan kepada isi-isi pengajaran yang sangat penting. Kesembilan, guru menggunakan bahan bantu mengajar secara visual. Guru perlu menggunakan banyak alat bantuan pengajaran visual.

3.4        Kesimpulan
Ingatan dan lupaan merupakan dua perkara penting yang berkaitan dengan pembelajaran. Dalam pemprosesan maklumat manusia belajar tentang banyak perkara tetapi pada masa yang sama apa yang dipelajari itusebahagian sahaja yang boleh diingat manakala bahagian yang lebih banyak melalui proses lupaan. Sebagai guru adalah penting mengambil langkah-langkah tertentu supaya murid-muridnya dapat meningkatkan ingatan dan mengurangkan lupaan semasa menjalani proses pembelajaran.

4.0       Pemindahan Pembelajaran (Transfer of Learning)
Pemindahan pembelajaran bermaksud kemampuan seseorang untuk mengaplikasi dan menggunapakai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dari satu dalam satu konteks kepada situasi dan konteks yang baru atau berlainan. Dengan perkataan lain,  mengambil sesuatu yang kita telah pelajari dan menggunapakainya semula di situasi yang berlainan.

4.1         Jenis-jenis pemindahan pembelajaran
Terdapat beberapa jenis pemindahan pembelajaran antaranya, pemindahan positif dan pemindahan negatif. Pertama, pemindahan positif (Positive Transfer) dapat diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu Pemindahan mendatar (lateral transfer) dan Pemindahan menegak (vertical transfer). Pemindahan mendatar merujuk kepada pengalaman seseorang dan individu tersebut dapat mengaplikasikannya kepada suatu situasi yang serupa atau peringkat kesukaran yang sama. Contohnya, Kanak-kanak mempelajari maksud perkataan untuk memperolehi lebih banyak pengetahuan. Manakala pemindahan menegak merujuk kepada penambahbaikan pengalaman sedia ada kepada satu tahap yang lebih tinggi. Ia melibatkan pembelajaran  prinsip, hukum dan teorem. Contohnya, murid-murid mempelajari konsep sisi empat, maka murid-murid dapat menyelesaikan konsep segiempat sama sisi, segiempat tepat dan segiempat selari.

Kedua, pemindahan negatif ialah pembelajaran lama yang mengganggu pembelajaran baru dan menyebabkan kekeliruan dan menyebabkan pemindahan pembelajaran yang salah. Sebab-sebab berlaku pemindahan pembelajaran negatif ialah gangguan proaktif, ganggunan retroaktif dan gangguan tabiat. Gangguan proaktif berlaku di mana pembelajaran sebelum menganggu pembelajaran berikutnya. Contohnya, mempelajari Fizik menganggu pelajaran Kimia. Manakala pembelajaran retroaktif pula berlaku apabila pembelajaran baru menganggu pembelajaran sebelumnya. Contohnya, selepas belajar Bahasa Inggeris, murid melupai struktur Bahasa Melayu yang dipelajari sebelumnya. Gangguan tabiat pula berlaku apabila tabiat lama mengganggu tabiat baru. Contohnya, murid yang mempunyai tabiat menulis tangan kiri akan mengganggu pembentukan tabiat menulis tangan kanan.

Selain itu terdapat jenis-jenis pemindahan pembelajaran yang lain iaitu pemindahan bilateral, pemindahan pengantara, pemindahan set pembelajaran dan pemindahan sifar. Pertama, pemindahan bilateral juga dikenali sebagai pendidikan bersilang (cross education). Ia melibatkan pemindahan pembelajaran dalam bidang dan latihan kemahiran seperti Pendidikan Jasmani. Contohnya, latihan menggunakan tangan kiri dipercayai boleh membantu latihan tangan kanan. Kedua, pemindahan pengantara, ia berlaku setelah murid menguasai satu tindak balas dan menggunakannya sebagai pengantara untuk membentuk satu tindak balas baru. Contohnya, selepas menguasai sebutan suku kata, murid lebih mudah mempelajari ejaan perkataan.

Ketiga, pemindahan set pembelajaran. Set pembelajaran (learning set) ialah teknik pembelajaran yang diperoleh hasil pengalaman pembelajaran yang berulang-ulang. Contohnya, murid diberi latih tubi berkaitan topik mendarab dan murid dapat menguasai operasi mendarab dengan baik. Keempat, pemindahan sifar, ia bermaksud tidak berlaku sebarang pemindahan. Seseorang berusaha menggunakan kemahiran atau konsep untuk pembelajaran baru tetapi tidak mendatangkan sebarang kesan. Ini berlaku kerana penggunaan konsep atau kemahiran sedia ada tidak mempunyai perkaitan langsung dengan konsep baru. Contohnya, menggunakan konsep operasi tambah untuk mempelajari operasi bahagi.

4.2         Prinsip-prinsip Pemindahan Pembelajaran
Menurut C. Ellis (1965), terdapat beberapa prinsip-prinsip pemindahan pembelajaran iaitu pertama, prinsip unsur kesamaan. Fenomena pemindahan pembelajaran lebih mudah berlaku apabila kedua-dua pembelajaran mempunyai unsur-unsur sama dan seiras. Prinsip kedua ialah prinsip banyak latihan asas. Semakin banyak latihan asas diadakan untuk pembelajaran awal, semakin banyak pemindahan pembelajaran terhadap pembelajaran berkaitan. Prinsip yang ketiga, prinsip kepelbagaian rangsangan. Semakin banyak latihan dipelbagaikan untuk pembelajaran awal, semakin banyak pemindahan pembelajaran terhadap pembelajaran berkaitan. Manakala prinsip keempat ialah prinsip pengukuhan konsep. Penguasaan konsep, prinsip atau hukum yang kukuh lebih memudahkan pemindahan pembelajaran. Prinsip yang terakhir ialah prinsip celik akal. Pemindahan pembelajaran mudah berlaku dengan kecekapan menggunakan celik akal melalui latih tubi.

4.3  Strategi & prinsip meningkatkan pemindahan pembelajaran positif `             dalam pengajaran dan pembelajaran.
Beberapa strategi dan prinsip yang dicadangkan untuk meningkatkan pembelajaran positif dalam pengajaran dan pembelajaran, antaranya pertama, menentukan pencapaian objektif eksplisit. Kedua, mengutamakan pemerolehan konsep dan memupuk kemahiran berfikir. Ketiga, pengalaman berkumulatif dan organisasi sistematik dan yang keempat, mengajar konsep dengan contoh sesuai.Pertama, menentukan pencapaian objektif eksplisit. Mengikut kajian Ausubel (1957) didapati bahawa pelajar yg diberitahu objektif pembelajaran dan bentuk peperiksaan sebelum pembelajaran mempunyai pencapaian yang lebih baik berbanding diberitahu selepas pembelajaran. Ini kerana pelajar mempunyai persediaan mengingat fakta atau konsep penting.

Kedua, mengutamakan pemerolehan konsep dan memupuk kemahiran berfikir. Untuk mengingati sesuatu perkara, kita dapat memikirkan sesuatu prinsip untuk mewakilinya. Oleh itu, perkara yang tidak bermakna akan boleh menjadi sesuatu yang bermakna. Contohnya, untuk mengingat nombor “19572020” dengan lebih mudah, kita boleh gunakan perkataan yang bermakna “Merdeka, Wawasan”

Ketiga, pengalaman berkumulatif dan organisasi sistematik. Sekiranya berlaku pembelajaran negatif, iaitu pengalaman lama yang dikuasai kurang tepat  untuk pembelajaran baru maka dua prinsip berikut perlu dilaksanakan iaitu pengalaman disusun secara sistematik iaitu dari pengalaman asas kepada yang lebih kompleks dan mengaitkan antara mata pelajaran, contohnya konsep Matematik dikaitkan dengan konsep Fizik.

Keempat, mengajar konsep dengan contoh sesuai. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran , huraian konsep dengan contoh yang sesuai akan memudahkan pelajar memahami konsep tersebut. Contohnya, guru menerangkan konsep tuas dan memberikan contoh dacing, jongkang-jongket, rod pemancing dan penukul sebagai contoh tuas. 

4.4        Kesimpulan
Amalan-amalan pemikiran yang menggalak proses pemindahan pembelajaran ysng positif di kalangan murid-murid. Pemindahan pembelajaran positif dapat dipupuk sekiranya murid-murid bermotivasi tinggi, berani mengambil risiko, memberi perhatian serta mempunyai perasaan tanggungjawab untuk menguasai pembelajaran.


Rujukan
Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh. (2012). Panduan Ilmu Pendidikan Untuk DPLI Psikologi. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang. (2008). Psikologi Pendidikan. Selangor. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Ingatan. Diakses pada 28 Julai 2012 dari http://eprints.utm.my/6270/1/bab_9.pdf
Ingatan dan lupaan. diakses pada 05 Ogos 2012 dari  http://www.scribd.com/doc/6117716/Ingatan-Dan-Lupaan
Ingatan dan lupaan. diakses pada 05 Ogos 2012 http://anuarena.blogspot.com/2011/02/ingatan-dan-lupaan.html
Pemindahan Pembelajaran. diakses pada 15 Ogos 2012  dari http://zarin58.tripod.com/pmotor.htm
Pemindahan Pembelajaran. diakses pada 20 Ogos 2012  dari http://www.scribd.com/doc/36108771/Pemindahan-Pembelajaran
Pemindahan Pembelajaran. diakses pada 21 Ogos 2012 dari http://raisingthesoftvolume.blogspot.com/2008/07/122-mengaktifkan-pembelajaran-dan.html


                                            NOR ASHIKIN BT MOHAMAD NOH


1 comment:

  1. Hotel Casino & Spa | Roland Roland Roland Roland - MapYRO
    Roland Roland Roland Roland 아산 출장마사지 Roland is Roland's Roland 여수 출장마사지 Casino & 문경 출장샵 Hotel. 구리 출장마사지 Roland is Roland's hotel with the closest stations to you, 제천 출장샵 with a casino on site.

    ReplyDelete