KESEDIAAN BELAJAR, PENGAMATAN DAN PENANGGAPAN
1.0 PENGENALAN
Pengajaran
adalah suatu aktiviti yang dapat mengubah tingkah laku, sikap, atau kepercayaan
murid-murid terhadap sesuatu perkara yang dipelajarinya. Hal ini berlaku
apabila berlakunya proses pembelajaran maka terhasilnya pengajaran dalam diri
seseorang itu. Oleh yang demikian tanpa pembelajaran, pengajaran tidak akan
dapat diwujudkan dan segala pengajaran haruslah tertumpu kepada kepada
pembelajaran murid-murid.Terdapat
banyak faktor yang telah dikenalpasti yang dapat mempengaruhi proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam bilik darjah bagi memastikan sesi pengajaran dan
pembelajaran berjalan dengan lancar dan efektif. Antara faktor-faktor utama ialah
kesediaan belajar, pengamatan atau persepsi dan penanggapan. Oleh yang
demikian, faktor-faktor tersebut dapat menentukan kejayaan atau kegagalan
murid-murid dalam mengalami proses pembelajaran kerana proses pembelajaran
adalah suatu proses yang sistematik dan tersusun.
2.0 KESEDIAAN BELAJAR
Menurut
kamus Dewan, istilah ‘kesediaan’ bermaksud kesanggupan atau kerelaan manakala
istilah ‘belajar’ bermaksud menuntut ilmu pengetahuan. Oleh itu, dapatlah ditakrifkan
‘kesediaan belajar’ sebagai keadaan status diri individu yang sudi menerima
maklumat atau ilmu pengetahuan dari persekitaran dengan berfikiran terbuka. Kesediaan
belajar merupakan faktor yang sangat penting untuk memastikan setiap isi
kandungan pelajaran difahami oleh murid-murid. Menurut Bruner (1966), kesediaan
belajar adalah merujuk kepada apa jua perkara yang dapat disampaikan secara
berkesan kepada kanak-kanak pada mana-mana peringkat perkembangan. Hal ini
adalah kerana, kesediaan belajar dapat diwujudkan melalui perkembangan individu
dari segi emosi, intelek, psikomotor dan kematangan murid. Contoh, kanak-kanak
berfikir secara konkrit pada peringkat perkembangan mereka dan pemikiran
konkrit ini digunakan sebagai persediaan untuk mempelajari cara pembelajaran
abstrak. Oleh yang demikian, persediaan ini dapat membantu pelajar untuk
memahami pelajaran yang baru berdasarkan kepada pengalaman dan pengetahuan yang
sedia ada.
2.1 JENIS-JENIS KESEDIAAN BELAJAR
Kesediaan
pelajar ini merangkumi aspek kognitif, afektif dan psikomotor yang berbeza
antara setiap murid. Kesediaan belajar dari aspek kognitif bermaksud kesediaan
mental seseorang untuk memahami, memikir dan menaakul dalam keadaan
pembelajaran yang baru. Kognitif adalah satu proses mental mengubah input
sensori kepada bentuk yang lebih bermakna dengan merekod, menyimpan dan
menggunakan semula maklumat yang sedia ada. Hal ini jelas kita lihat apabila
seseorang individu menggunakan maklumat yang sedia ada dalam persekitarannya dan
mengaplikasikan ingatannya dalam membuat keputusan. Contohnya, murid-murid
sekolah rendah bersedia untuk belajar operasi konkrit apabila mereka masuk ke
sekolah menengah dan bersedia untuk belajar operasi yang kompleks. Maksudnya, seseorang pelajar telah bersedia
dari segi kognitifnya apabila pencapaian ilmiahnya setimpal dengan usaha dan
latihan yang diperlukannya.
Kesediaan
afektif pula adalah dari segi keinginan, semangat, ketekunan, perasaan dan minat
seseorang untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran. Hal ini dapat ditunjukkan melalui perlakuan iaitu sikap
kesedaran, minat, prihatin dan bertanggungjawab murid tersebut dalam
kesungguhannya melaksanakan aktiviti pembelajaran yang diberi oleh guru. Contohnya,
Nazri meminati subjek Sains kerana
menyukai aktiviti eksperimen. Oleh itu, melalui kesediaan afektif ini,
murid-murid dapat meningkatkan pembelajaran, minat, dan juga persaingan yang
sihat dalam kalangan mereka sekali gus dapat memotivasikan murid-murid dengan menganggap
pembelajaran adalah suatu bidang yang menyeronokkan dan memberikan suatu
kepuasan kepada diri mereka. Mengikut hukum Thorndike (1913), apabila seseorang
itu bersedia untuk melakukan tindakan, maka tindakan itu dapat memberikan
kepuasan kepadanya. Sekiranya dia tidak melakukannya, akan menimbulkan perasaan
dukacita dan jika dia terpaksa melakukannya maka pembelajaran yang terhasil
menjadi tidak sempurna. Oleh yang demikian, kesediaan belajar merupakan
persiapan-persiapan yang perlu ada sebelum individu itu bertindak iaitu
belajar.
Kesediaan
psikomotor pula ialah merangkumi penggunaan keperluan kemahiran dan penyelarasan
tulang dan otot aktiviti fizikal. Kesediaan psikomotor pula bermaksud kesediaan
seseorang yang mempunyai potensi dan bersedia untuk melakukan tindakan fizikal
dalam suatu proses pembelajaran yang baru. Namun demikian, harus diambil kira
bahawa kesediaan psikomotor ini adalah berbeza dalam kalangan murid-murid
walaupun mempunyai umur yang sama. Hal ini adalah kerana, kesediaan psikomotor
ini adalah berkait rapat dengan latihan yang memerlukan kemahiran yang betul
dan latihan yang berterusan. Contoh, subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Muzik
dalam permainan alat muzik piano. Oleh yang demikian, murid-murid dapat
memperbaiki psikomotor mereka dengan latihan yang berterusan sebagai persediaan
psikomotor mereka.
2.2 FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KESEDIAAN
BELAJAR
Terdapat
beberapa faktor yang mempengaruhi kesediaan belajar iaitu baka. Amran Schienfed
mengatakan bahawa baka menentukan persamaan di antara ibu bapa dengan anak-anaknya
dari segi kebolehan, minat dan kawalan emosi. Contoh, jika ibu bapa seseorang
anak itu pandai maka, anak-anaknya akan mengikut kebolehan yang dimiliki oleh
kedua ibu bapanya. Disamping itu, faktor persekitaran, contohnya jika
persekitaran murid itu terdiri dari masyarakat yang suka membaca, murid
tersebut akan terikut-ikut untuk membaca buku. Kedua-dua faktor ini mempunyai
kecenderungan dalam perkembangan murid dalam proses mempelajari sesuatu yang
baru. Selanjutnya, kedua-dua faktor tersebut menentukan kematangan dan
pengalaman murid-murid. Oleh yang demikian, kesediaan pelajar adalah hasil
daripada sejauh mana matangnya seorang murid itu dan berapa berapa banyak
pengalaman yang ada dapat membantunya bersedia dalam pengajaran dan
pembelajarannya semasa di dalam bilik darjah.
Seterusnya,
kematangan juga adalah merupakan salah satu faktor dalam kesediaan belajar dan
ianya dibahagikan kepada tiga iaitu kematangan fizikal, kematangan intelek,
kematangan sosial dan kematangan emosi. Ketiga-tiga jenis kematangan ini
sebenarnya memang sudah sedia ada dalam diri setiap murid.
Setiap
manusia yang normal akan menjalani corak pertumbuhan dan perkembangan fizikal
dalam lima peringkat iaitu bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Pada
peringkat bayi, perkembangan fizikal adalah cepat dan ianya sama dengan
peringkat remaja. Perubahan otot, ketinggian dan saiz murid akan menjalani
perubahan untuk menunjukkan kematangan fizikal pelajar. Pada peringkat dewasa
pula, kematangan begitu bermakna kerana seseorang itu boleh melakukan apa
sahaja kebolehan dan kekuatan yang telah diperolehinya pada peringkat
perkembangan yang lebih awal. Namun, apabila mencapai peringkat tua, kekuatan
tenaga mula beransur-ansur hilang. Natijahnya, pada usia ini seseorang itu akan
mudah cepat letih, kurang tenaga dan kesihatan akan sentiasa terganggu.
Kematangan fizikal akan berakhir dengan sempurna apabila mencapai umur 18 tahun
dan pada ketika dan selepas itu individu masih boleh tetap membesar dengan
pertambahan berat badan. Hubungan antara kematangan fizikal dalam menentukan
kesediaan belajar untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran adalah sangat penting
bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran guru. Contohnya, murid tahun
1 tidak boleh memegang raket tenis dengan betul kerana otot-otot mereka belum berkembang
dan tidak mampu memegang raket yang berat disebabkan belum mencapai kematangan fizikal
lagi.
Kematangan intelek pula ialah
perkembangan yang berlaku pada otak apabila umur seseorang telah meningkat. Oleh
itu, kesediaan untuk menerima pelajaran yang lebih abstrak boleh diterima
kerana otak telah bersedia untuk menerimanya. Namun, guru harus mempertimbangkan tahap
perkembangan intelek murid-murid adalah tidak sama dan guru perlu bijak menyediakan
strategi pengajaran dan bahan-bahan pembelajaran yang lebih sukar atau
mengaturkan aktiviti-aktiviti pengayaan yang sukar kerana murid-murid bersedia
menerima tahap pembelajaran yang lebih sukar. Contohnya, dalam subjek Matematik
guru memberikan aktiviti pengayaan topik pecahan aras tinggi pada murid tahun
6A kerana otak mereka telah bersedia menjawab soalan yang sukar.
Kematangan emosi ialah darjah
pencapaian kestabilan dalam perasaan yang berkaitan dengan minat, keinginan dan
kepuasan dan gangguan dalaman terhadap pelajaran. Sehubungan itu, sesuatu
rangsangan yang selaras dengan minat dan keinginan dapat membangkitkan emosi positif
yang mendorong seseorang murid itu belajar. Misalnya, murid-murid mendapat ransangan
emosi ababila guru menggunakan kaedah nyanyian melodi ria dalam menghafal huruf
ABC dalam kalangan murid prasekolah. Walaubagaimanapun, guru harus sedar kerana
emosi setiap pelajar adalah berbeza dan guru perlu bijak merancang
pembelajarannya selaras dengan kesediaan belajar dan keperluan murid-murid.
Kematangan sosial pula ialah kematangan
murid-murid untuk berinteraksi antara satu sama lain dan guru memainkan peranan
penting untuk memangkin mereka dalam pelajaran. Dalam sebuah bilik darjah sikap
dan tingkahlaku murid-murid adalah berbeza kerana ada yang pendiam, periang,
aktif, lemah, sederhana dan pandai. Oleh itu bagi menghasilkan kesediaan
pembelajaran, guru haruslah memperkembangkan kematangan sosial murid-murid
secara positif untuk menggalakkan pembelajaran harmoni. Umpamanya, melaksanakan
dalam aktiviti berkumpulan dengan menggabungkan murid yang pendiam dengan murid
yang riang dan murid yang lemah digabungkan dengan murid yang pandai. Oleh yang
demikian, mereka dapat saling berinteraksi, membuat tugasan dan keputusan
secara koperatif dan kolaboratif sekali gus dapat mewujudkan, membantu dan
meningkatkan kesediaan belajar kerana wujudnya interaksi yang dapat mematangkan
hubungan sosial mereka antara satu sama lain.
Selanjutnya, pengalaman sedia ada yang
disusun rapi dapat membantu murid-murid untuk mempunyai kesediaan belajar yang
teratur dalam mata pelajaran tertentu. Terdapat setengah ahli teori
pembelajaran yang mengatakan bahawa sekiranya bahan pembelajaran disusun dengan
sempurna mengikut kesusahan dan perkaitannya, maka semua kanak-kanak dapat
mempelajari apa-apa jua idea tentang urutan pembelajaran dan prasyarat tertentu
adalah berdasarkan andaian bahawa kemahiran yang asas diperlukan terlebih
dahulu sebelum pembelajaran kemahiran yang tinggi dan lebih kompleks. Contohnya,
pelajar tingkatan tiga yang hendak memasuki kelas Sains mesti memenuhi prasyarat
keputusan sekurang-kurangnya gred C dalam subjek Sains dan Matematik. Jika tidak,
mereka akan mengalami kesukaran meneruskan pembelajaran yang lebih kompleks
kerana mempunyai asas yang sangat lemah.
Selain daripada itu,
pengalaman kanak-kanak juga sangat bergantung kepada latar belakang keluarga, kebudayaaan
masyarakat dan alam sekelilingnya. Mengikut kajian Rosen (1958), keluarga yang
berasal daripada kelas menengah ialah keluarga yang banyak memberikan sumbangan
dalm kesediaan belajar anak-anak mereka. Contohnya mereka telah diasuh, diajar dan
diberi peneguhan supaya sentiasa bersedia dalam pembelajaran untuk mendapat
kecemerlangan dalam pelajaran. Mengikut prinsip Pavlov kanak-kanak menjadikan
peneguhan daripada ibu bapa seperti berbentuk ganjaran untuk mencapai
kecemerlangan dalam pelajaran.
2.3 PERANAN GURU DALAM MEWUJUDKAN KESEDIAAN
BELAJAR
Guru
memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan kesediaan belajar dalam
kalangan murid-murid. Terdapat beberapa inisiatif untuk membantu kesediaan
belajar ialah guru haruslah kreatif mempelbagaikan kaedah pengajaran misalnya
kerja secara berkumpulan, berpasangan dan individu supaya berlaku bimbingan
rakan sebaya yang mana murid-murid yang kurang bersedia akan dibantu oleh murid
yang bersedia. Selain itu guru haruslah mengggunakan bahan bantu mengajar yang
sesuai dengan tahap kesediaan murid-murid untuk belajar menurut Reiser dan
Gagne (1983) supaya ia merangsang minat murid-murid dalam mata pelajaran tertentu.
Contohnya menggunakan bahan bantu mengajar berbentuk audio dan visual interaktif.
Disamping itu strategi pengajaran guru, contohnya penerangan, demonstrasi,
sumbang saran dan sebagainya hendaklah bersesuaian dengan tahap kognitif, emosi
dan fizikal murid-murid.
Selain
itu, membuat pemeringkatan isi kandungan pelajaran. Mengikut pembelajaran
Gagne, mesti ada pembelajaran prasyarat sebelum pembelajaran yang seterusnya.
Justeru, pengajaran kemahiran asas adalah perlu disampaikan terlebih dahulu sebelum
pembelajaran kemahiran yang lebih tinggi dan lebih kompleks untuk menangani
masalah kesediaan murid-murid yang pelbagai. Contohnya mengukuhkan asas
murid-murid tahun satu dengan membaca, mengeja dan membunyikan perkataan
sebelum diminta membuat ayat mudah.
Aktiviti
pemulihan dan pengayaan juga adalah satu cara yang boleh dilakukan oleh guru. Contohnya,
mengasingkan pelajar yang cerdik dan kurang cerdik untuk meningkatkan kesediaan
belajar mereka. Murid yang cerdik diberi penekanan akademik yang lebih banyak
supaya peluang mereka untuk belajar di peringkat yang lebih tinggi banyak
manakala murid yang kurang cerdik diberi galakan untuk melengkapkan sesuatu
tugasan mengikut kesedian belajar dan
kesediaan emosi mereka.
3.0 PENGAMATAN
Istilah
‘pengamatan’ menurut kamus Dewan ialah ‘penelitian’. Secara spesifiknya
maksudnya adalah sama dengan persepsi iaitu gambaran atau bayangan dalam hati
atau fikiran, pandangan atau tanggapan. Proses pengamatan bermula daripada
rangsangan luar yang dikesan oleh organ-organ deria iaitu mata, telinga,
hidung, lidah ataupun kulit. Ransangan yang dikesan akan menghasilkan impuls
yang dihantar ke otak melalui sistem saraf. Kemudian, otak akan berusaha
mentafsir maklumat yang diterima berdasarkan kepada pengalaman yang berkaitan,
mengintrepretasi dan membentuk gambaran, bayangan, makna atau konsep rangsangan
tersebut. Contoh, melalui deria mata, ransangan kilat dari awan tebal masuk ke
mata seseorang dan membentuk imej di retina yang terletak di belakang otak dan
impuls dihasilkan dan dihantar ke otak melalui saraf optik. Otak kemudian mentafsir
dan menterjemahkan maklumat yang diterima dan kemudian barulah konsep kilat
dapat dibentuk. Maka, pengamatan dapat dirumuskan sebagai proses mental atau
kognitif di mana otak menerima maklumat daripada rangsangan luar yang dikesan
oleh organ deria dan membentuk konsep rangsangan tersebut.
Oleh
yang demikian, ahli-ahli psikologi kognitif iaitu Kohler, Bruner, Gagne dan
Ausubel berpendapat bahawa pembelajaran ialah suatu proses dalaman yang berlaku
dalam akal fikiran dan tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada
tingkah laku manusia. Pengamatan adalah kompenen yang sangat penting dalam
proses pembinaan pengetahuan baru dalam struktur kognitif seseorang. Menurut
teori Gestalt, manusia mengamati dengan menerima maklumat melalui deria dan
kemudian menyusun semula maklumat tersebut dalam ingatannya mengikut kefahaman
mereka sendiri. Contoh, murid diminta oleh guru untuk mengamati objek panjang,
licin dan bergerak. Sifat-sifat tersebut diamati melalui deria mata dan
dipadankan dengan sifat tersebut iaitu ular.
Oleh
yang demikian, walaupun setiap individu mempunyai organ deria yang sama,
penerimaan rangsangan mungkin berbeza justeru pengamatan juga turut akan
berbeza. Jika seseorang itu kurang sihat maka pengamatannnya akan turut
terjejas. Menurut Krech (2002) pengamatan merupakan proses memberikan erti
terhadap lingkungan persekitaran individu.
3.1 FAKTOR-FAKTOR PENGAMATAN
Terdapat
beberapa faktor-faktor pengamatan iaitu peranan guru untuk memastikan murid-murid
terlibat dengan sepenuhnya dan mempunyai motivasi intrinsik yang tinggi dalam
mengikuti pengajaran dan pembelajaran. Hal ini boleh dilakukan dengan menggunakan strategi-strategi dan
pendekatan yang berbeza seperti kuiz, perbincangan, inkuiri penemuan,
eksperimen dan banyak lagi yang menumpukan kepada pengamatan supaya mereka
dapat meningkatkan kefahaman murid-murid dalam pelajaran.
Selain
itu, kebolehan pengamatan juga adalah bergantung kepada minat, kebolehan
kognitif dan pengalaman murid-murid itu sendiri ke atas sesuatu objek atau
subjek. Contohnya, pengamatan seorang murid apabila melihat gambar seorang
budak perempuan dengan lelaki tua dan beruban. Murid itu mengamati dan
mentafsirkan bahawa lelaki tua dan beruban itu merupakan datuk kepada budak
perempuan itu. Oleh yang demikian, pengamatan dan pentafsiran itu adalah
dipengaruhi oleh pengalaman yang lampau.
Selain
itu, keadaan sasaran pada objek yang diamati yang contohnya pergerakan, bunyi,
saiz, latar belakang dan kedekatan atau kejauhan objek tersebut akan menentukan
ketepatan mengamati seseorang murid.
Contohnya, hubungan
latar hadapan dengan hubungan latar belakang yang wujud secara bersama di dalam
sebuah gambar ataru carta juga akan mempengaruhi pengamatan murid-murid. Hal
ini kerana, perhubungan latar belakang dan hadapan adalah asas kepada semua
bentuk persepsi. Faktor-faktor yang menyumbang kepada perbezaan-perbezaan dalam
hubungan latar hadapan dengan hubungan latar belakang ialah pula adalah
disebabkan oleh warna, saiz dan kekuatan sesuatu rangsangan.
Susunan objek dan
benda-benda maujud dalam persekitaran mereka juga akan mempengaruhi pengamatan
murid-murid. Contohnya pengamatan murid-murid terhadap gambarajah, tulisan atau
lukisan.
4.0
PENANGGAPAN
Istilah
‘penanggapan’ dalam kamus dewan bermaksud ‘pencerapan’. Ianya didefinisikan
sebagai tanggapan mental sesuatu objek, konsep atau ciri-ciri melalui deria,
kesedaran dan kefahaman. Mengikut Solso (2001), konsep merupakan bayangan
mental, idea dan proses, manakala pembentukan konsep pula adalah terhasil
daripada ketajaman fikiran individu dalam mengklasifikasikan objek-objek atau
idea-idea. Dalam proses pembelajaran pembentukan konsep atau penanggapan adalah
sangat penting. Ianya memudahkan konsep itu diingat dengan mudah, menganalisis,
menghubung dengan situasi yang lain dan mengumpulkan maklumat yang berguna dan
dapat menyelesaikan masalah untuk tujuan tertentu. Mengikut Bruner (1967),
konsep adalah kategori-kategori mental yang membantu dalam proses mengklasifikasikan
objek, peristiwa atau idea-idea berasaskan ciri-ciri khasnya. Ianya melibatkan
murid-murid membanding beza dan mengkategorikan ciri-ciri untuk sesuatu konsep.
Contohnya, murid dapat mengklasifikasikan sifat-sifat khusus haiwan bertulang
belakang dan yang tidak bertulang belakang.
4.1
FAKTOR-FAKTOR PENANGGAPAN
Terdapat
beberapa faktor yang membentuk penanggapan iaitu pengalaman akan membantu
seseorang murid itu membentuk konsep. Satu rangsangan atau pengalaman yang
dialami akan dikodkan dengan lebih mudah. Umpamanya, seorang anak nelayan dapan
mengkategorikan ciri-ciri ikan tempatan dengan mudah.
Selain
itu, melalui imaginasi yang merupakan kebolehan mental seseorang untuk membayangkan
sesuatu walaupun objek yang tidak berada di depan mata namun oleh kerana daya
imaginasi yang tinggi akan memudahkan seseorang murid dapat memahami dan
mentafsirkan konsep yang abstrak. Contohnya, murid menonton dokumentari
kemajuan yang dicapai oleh manusia abad ke-20, mereka dapat membayangkan
kemajuan yang bakal dicapai oleh manusia pada abad ke-21.
Disamping
itu, penguasaan bahasa juga adalah sangat penting kerana dalam pembentukan
konsep perbendaharaan kata dan pengungkapan ayat, penggunaan ayat dan struktur
ayat yang baik sahaja yang dapat menggambarkan sesuatu konsep dengan tepat.
Mengikut Teori Pelbagai Kecerdasan, Gardener (1983) berpendapat bahawa orang
yang mempunyai kecerdasan ini menggunakan bahasa secara berkesan sama ada lisan
ataupun tulisan dalam mentafsirkan konsep.
Kemudian, konsep itu haruslah disertai dengan kejelasan fakta yang sahih
supaya pengajaran dan pembelajaran seorang guru itu berkesan contohnya bunga
mempunyai warna yang pelbagai dan tangkai yang terletak dihujungnya. Kemudian, disertai
dengan contoh-contoh yang mudah supaya murid dapat memahami apa yang
disampaikan oleh guru.
Selain
itu kecerdasan mental menurut Piaget (1950) yang merujuk kepada mental untuk
mengubah persekitarannya supaya memenuhi kehendaknya. Ia melibatkan pemikiran
yang peringkat tinggi seperti menganalisis, mensintesis pengalaman baru dan
lama, membuat penilaian dan sebagainya. Oleh itu, kecerdasan murid-murid
memudahkan penanggapan sesuatu konsep contohnya, murid tahun 1 menganalisis
perbezaan bentuk yang terdapat antara burung dan ayam.
Oleh
yang demikian, dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pengamatan dan
penanggapan merupakan dua perkara yang mempunyai hubung kait yang dapat
meningkatkan tahap kognitif murid-murid. Tanpa kedua-dua perkara tersebut,
murid begitu sukar untuk memahami konsep
dan isi kandungan pelajaran yang disampaikan oleh guru dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran.
5.0 CARA-CARA MENINGKATKAN PENGAMATAN DAN
PENANGGAPAN
Terdapat
beberapa cara untuk meningkatkan pengamatan dan penanggapan iaitu guru haruslah
memulakan pengajaran yang konkrit kepada abstrak iaitu dalam erti kata lain
yang mudah kepada susah supaya murid dapat menerima pengajaran dan pembelajaran
yang disampaikan oleh guru. Contohnya, murid tahun 1 diminta oleh guru dalam
akitiviti pelajaran untuk melihat objek air dan guru meminta mereka untuk
menyenaraikan kegunaan air dalam kehidupan seharian.
Selain
itu, menerangkan suatu konsep dengan jelas dan tidak mengelirukan murid-murid. Sebagaimana
yang diketahui konsep besar tidak sama nilai yang sebenarnya. Contoh, duit
syiling lima puluh sen lebih besar dan berat daripada duit kertas satu ringgit
namun wang kertas satu ringgit itu lebih bernilai daripada wang syiling
tersebut. Oleh yang demikian, konsep ini perlu diperjelaskan kepada kanak-kanak
yang berusia 4 tahun.
Selanjutnya,
guru perlu menerangkan sesuatu maklumat dengan betul. Demikian juga maklumat
yang diterima atau yang dikemukakan oleh pelajar. Maklumat tersebut perlu
ditapis dan dianalisis terlebih dahulu agar ia tidak menjadi kenyataan yang
kabur dan hasil pengajaran dan pembelajaran oleh murid adalah tidak terpesong
daripada kebenarannya. Contohnya, guru menjelaskan haiwan amfibia mempunyai
kulit yang lembab seperti katak.
Selain
itu, guru perlu menjelaskan sesuatu perkataan dengan tepat. Contohnya dalam
bahasa melayu terdapat beberapa perkataan yang mempunyai ejaan yang sama tetapi
berbeza bunyi dan maksudnya. Contohnya perkataan ‘rendang’ iaitu sejenis
makanan dan perkataan ‘rendang’ menunjukkan sifat pokok. Hal ini penting supaya
murid mengetahui istilah yang sama namun mempunyai maksud dan bunyi yang berbeza.
Peranan
ibu bapa dan guru seboleh-bolehnya mempelbagaikan kaedah mengajar, mendidik dan
membimbing anak-anak supaya mereka dapat memahami sesuatu tajuk yang dipelajari
dengan mudah. Contohnya, dalam subjek Matematik, terdapat pelbagai cara atau
langkah untuk mendapatkan jawapan yang sama dan betul bergantung kepada tahap
kebolehan kognitif mereka.
6.0
RUMUSAN
Oleh
yang demikian, faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran murid-murid iaitu
kesediaan belajar, pengamatan dan penanggapan haruslah diambilkira oleh guru sebelum memperkenalkan topik
pembelajaran yang baru. Setiap murid mempunyai latar belakang kesediaan pembelajaran,
pengamatan dan penanggapan yang berlainan dan membawa pengalaman dan tahap
kematangan yang unik ke dalam bilik darjah. Sekiranya apa yang diajar oleh guru
tidak serasi dengan tahap kematangan dan pengalaman serta kesediaan
murid-murid, proses pembelajaran akan terjejas dan terbantut.
Walaupun terdapat perbezaan antara
pengamatan dan penanggapan namun ianya mempunyai hubungan dalam membentuk
pemahaman kognitif dalam diri murid-murid. Hal ini kerana, proses penanggapan
berlaku apabila berlakunya proses pengamatan untuk mendapat maklumat dan makna.
Kemudian minda akan membentuk penanggapan konsep hasil daripada pengamatan yang
merujuk kepada skema atau struktur
kognitif yang sedia ada di dalam otak.
Oleh itu, peranan
guru adalah sangat penting untuk meningkatkan tahap kesediaan belajar,
pengamatan dan penanggapan murid-murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran
supaya dapat membina keyakinan murid-murid untuk mencapai kecemerlangan dalam
pelajaran.
RUJUKAN
Dr. Ismail Zain.
(t.t). Kesediaan Penentu Keberkesanan
Pembelajaran. Dicapai pada 17 Ogos 2012, daripada http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/ content/article/36-mengenai-pendidikan/5584-kesediaan-penentu-keberkesananan-pembelajaran.html
Dr. Ragnir Kaur
Joginder Singh. (2012). Panduan Ilmu
Pendidikan Untuk DPLI Psikologi.
Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Kesediaan Belajar.
(t.t & t.p). Dicapai pada 17 Ogos 2012, daripada http://www.scribd.com/doc/33822621/kesediaan-belajar
Mok Soon Sang. (2002). Psikologi Pendidikan. Selangor: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Noresah Baharom et al. (Ed.). (2000). Kamus Dewan (edisi ke-3). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pengamatan dan
Penanggapan. (t.t & t.p). Dicapai pada 17 Ogos 2012, daripada http://www.scribd.com/doc/37606574/pengamatan-penanggapan
Persepsi dan
Penanggapan. (t.t & t.p). Dicapai pada 17 Ogos 2012, daripada http://www.scribd.com/doc/82429607/12/Persepsi-dan-Penanggapan
Psikologi Pendidikan. (2011). (t.p). Dicapai
pada 17 Ogos 2012, daripada http://kdpoum.blogspot.com/
Norfadzilah Binti Danial
No comments:
Post a Comment